OREM: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) masih memburu penembak tepat yang membunuh aktivis konservatif terkenal, Charlie Kirk yang juga sekutu rapat Presiden, Donald Trump selepas berlaku kekeliruan awal apabila dua lelaki yang ditahan awal pagi tadi akhirnya dibebaskan selepas siasatan mendapati mereka tiada kaitan dengan kejadian itu.
Insiden tragis itu berlaku pada Rabu tengah hari di kampus Universiti Utah Valley di Orem ketika Kirk, 31, sedang berucap di hadapan kira-kira 3,000 hadirin.
Satu das tembakan dilepaskan dari bumbung berdekatan, mengenai leher Kirk dan menyebabkan beliau rebah di atas kerusi dan disahkan meninggal dunia.
Rakaman telefon pintar di lokasi menunjukkan darah mengalir deras dari lehernya sejurus selepas ditembak, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan penonton.
Pesuruhjaya Jabatan Keselamatan Awam Utah, Beau Mason mengesahkan penembak masih bebas dan disifatkan sebagai bertindak bersendirian.
Polis menyatakan suspek berpakaian serba gelap dan dipercayai melakukan serangan terancang.
Gabenor Utah, Spencer Cox menyifatkan kejadian itu sebagai pembunuhan politik manakala Datuk Bandar Orem, David Young berkata, pelbagai agensi penguat kuasa sedang bekerjasama dalam siasatan, termasuk pencarian dari rumah ke rumah.
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) membuka talian digital untuk orang ramai menyalurkan maklumat selepas timbul kekeliruan apabila Pengarahnya, Kash Patel, pada mulanya mendakwa suspek sudah ditahan sebelum menarik balik kenyataan itu sejam kemudian.
Dalam kenyataan video dari Rumah Putih yang dimuat naik ke laman Truth Social, Trump berikrar akan memburu bukan sahaja pelaku, tetapi juga mana-mana pihak yang menyokong atau membiayai keganasan politik.
Beliau turut mengarahkan semua bangunan kerajaan mengibarkan bendera separuh tiang sehingga Ahad bagi menghormati mendiang Kirk.










