Taktik gerila Qassam jadikan askar Israel umpama 'itik dalam lapang sasar' - Utusan Malaysia

Taktik gerila Qassam jadikan askar Israel umpama ‘itik dalam lapang sasar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Akhbar Israel, Maariv pada Selasa menyiarkan amaran keras daripada wartawan ketenteraannya, Avi Ashkenazi, yang menyatakan taktik baharu yang digunakan sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam telah menjadikan askar Israel umpama ‘itik dalam lapang sasar’.

Ashkenazi berpendapat perkembangan di Gaza menunjukkan kegagalan tentera Israel belajar daripada kesilapan lalu atau menyesuaikan diri dengan peperangan gerila.

Beliau turut mengkritik kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu kerana mendabik dada dengan ‘kejayaan ilusi’ tanpa hala tuju strategik sebenar, sambil menegaskan penyelesaian paling wajar adalah menamatkan perang segera bagi mengelakkan lebih banyak korban.

Menurut Ashkenazi, Hamas kini mengubah strategi dengan menumpukan serangan terhadap askar berbanding kereta kebal, menyedari keterbatasan berdepan teknologi ketenteraan canggih Israel secara langsung.

Taktik tersebut jelasnya, bermula dengan menembak tepat komander kereta kebal sama ada melalui penembak hendap atau senjata jarak dekat, sebelum pejuang melempar bahan letupan ke dalam kereta kebal bagi membunuh kru di dalamnya.

“Perkara ini sudah berlaku lima kali di Gaza,” katanya.

Beliau menambah, pasukan Israel yang kembali dari misi di Bandar Gaza, khususnya di kawasan kejiranan utara, sering hanya mampu bertahan. Apabila konvoi bergerak perlahan atau terhenti, ia menjadi sasaran mudah untuk serangan hendap.

“Mereka (Hamas) perancang yang baik; kita telah lihat di Khan Yunis dan tempat lain, sedangkan tentera terus gagal mengambil iktibar,” kata Ashkenazi.

Walaupun berbilion shekel telah dibelanjakan untuk perisai dan sistem pertahanan, Ashkenazi merumuskan hasilnya tetap suram.

“Daripada menjadi pihak yang mendahului, kita hanya melabur dalam perlindungan. Dan akhirnya, apa yang berlaku tetap berlaku. Kita umpama itik yang menjadi sasaran dalam lapang sasar,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN