LANGKAWI: Dua buah restoran musnah dalam kebakaran di Jalan Pantai Cenang, di sini, malam tadi.
Ketua Zon 4 Bomba Langkawi, Penguasa Bomba Mohd. Zamri Abd Ghani berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada pukul 8.11 malam melalui talian MERS999.
Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah telah mengarahkan jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Matsirat, BBP Persiaran Putra dan BBP Langkawi untuk ke lokasi.
“Kebakaran didapati melibatkan restoran jenis bangunan kelas A dengan anggaran kemusnahan 100 peratus dan telah merebak ke restoran bersebelahan dengan kemusnahan sehingga 90 peratus.
“Turut terlibat dalam kebakaran adalah sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dengan anggaran kemusnahan 5 peratus,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih dalam siasatan setelah api dapat dikawal pada pukul 9.23 malam sementara kerja-kerja overhaul sedang dijalankan.
“Seramai 23 anggota, tiga jentera fire rescue tender (FRT), masing-masing sebuah water tanker, rapid rescue vehicle (RRV), Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan tiga buah jentera utiliti terlibat dalam operasi itu,” katanya.-UTUSAN