EMZI sedia RM500,000 untuk R&D produk

EMZI sedia RM500,000 untuk R&D produk

KETUA Makmal EMZI Nano-Core, Ts. Ir. Mohamed Syazwan sedang menjalankan ujian makmal terhadap formulasi produk EMZI Care di makmal penyelidikan industri hasil kerjasama EMZI dan UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kumpulan Syarikat EMZI mengorak langkah besar dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) apabila memperuntukkan dana hampir RM500,000 untuk menjalankan kajian saintifik dan klinikal ke atas produk keluarannya.

Ia menerusi kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), merangkumi kajian menyeluruh produk jenama EMZI Care.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat EMZI, Mohamad Faizal Zainon berkata, R&D melibatkan aspek keberkesanan, keselamatan dan kualiti selaras dengan piawaian industri kesihatan dan keperluan pengguna masa kini.

“Kerjasama strategik ini menyaksikan pasukan EMZI Nano-Core iaitu kolaborasi bersama Fakulti Kejuruteraan Kimia, UiTM Pulau Pinang menjalankan analisis saintifik di peringkat makmal terhadap formulasi, kestabilan dan bahan aktif dalam produk.

“Pasukan penyelidik dari Fakulti Perubatan dan Sains Ke­sihatan UniSHAMS pula bertanggungjawab melaksanakan kajian klinikal bagi menilai kesan penggunaan produk EMZI Care terhadap pengguna sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohamad Faizal berkata, R&D kekal teras utama dalam strategi EMZI merangsang inovasi secara berterusan dan meningkatkan keupayaan produk untuk bersaing di pasaran.

Katanya, produk seperti Kopi Ala Kazim, Olive Tin dan Teh Tarik Mahmudi meraih pengiktirafan serta memenangi pelbagai anugerah di peringkat nasional dan antarabangsa hasil penyelidikan berterusan sejak 2021.

Tambah beliau, kerjasama itu merupakan langkah penting dalam usaha memperkukuh kepercayaan pengguna terhadap jenama tempatan.

“Kami percaya sokongan institusi akademik mampu mempercepat proses inovasi produk, pada masa sama membuka ruang dan peluang kepada lebih banyak kerjasama penyelidikan berimpak tinggi pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara pelbagai sektor amat penting bagi membangunkan solusi kesihatan yang selamat dan berkualiti tinggi, serta mampu bersaing secara efektif di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Kolaborasi ini turut membuka peluang besar kepada institusi pengajian tinggi (IPT) meng­aplikasi kepakaran akademik dalam konteks industri sebenar kepada pensyarah dan pelajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×