BANGI: Isu kekurangan lebih 22,000 guru di negara ini berjaya diselesaikan Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Perguruan (SPP).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelbagai mekanisme dan langkah dilaksanakan bagi menoktahkan isu itu dan ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Katanya, guru-guru yang dihantar bagi mengisi kekosongan adalah guru berkualiti tinggi dan dan dapat memenuhi keperluan para pelajar.
“SPP telah melaksanakan reformasi bagi memastikan tiada lagi isu kekurangan guru di Malaysia.
“Alhamdulillah, dengan rakan sinergi kita, SPP telah berjaya atasi dan insya-Allah mekanismenya akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Istiadat Konvokesyen Ke-15 Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM di sini, semalam.
Sehingga 31 Oktober 2024, sebanyak 431,217 jawatan guru telah diperuntukkan oleh KPM, dengan 409,137 orang guru sedang berkhidmat di seluruh negara.
Ini bermakna terdapat kira-kira hampir 22,080 kekosongan jawatan guru yang masih belum diisi.
Bagaimanapun laporan KPM pada tahun lalu menyatakan antara tahun 2021 hingga 2023, jumlah guru yang diluluskan persaraan pilihan berada dalam lingkungan 4,300 hingga 6,300 orang setiap tahun.
Tambah Fadhlina, laluan menyertai IPG dibuka seluas-luasnya termasuk kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Tahfiz Ulul Albab (TMUA).
“Permohonan masuk IPG meningkat setiap tahun. Menunjukkan keinginan yang tinggi bergelar pendidik. Namun, menjadi guru tidak mudah. Semua pendidik perlu nyala rasa sebagai guru,” katanya.
Dalam perkembangan lain, katanya, pada tahun depan juga menyaksikan kohort pertama program sarjana IPGM yang akan bergraduat.
“Kita akan menyaksikan pasukan pertama, insya-Allah akan menamatkan sarjana di IPG tahun depan. Selepas mereka dapat ijazah, IPG juga sediakan ruang sambung pendidikan ke peringkat sarjana,” katanya. – UTUSAN










