PETALING JAYA: Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim akan menjalankan kuasa dan melaksanakan tugas Ketua Hakim Negara berkuat kuasa semalam.
Selain tugas itu, dalam masa sama beliau juga diberi tanggungjawab menjalankan tugas Presiden Mahkamah Rayuan.
Pemilihan beliau itu dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 9 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia berkata, pelaksa naan tugas itu turut melibatkan fungsi-fungsi di bawah Perlembagaan sehingga jawatan ber kenaan diisi.
“Badan Kehakiman Malaysia memberi komitmen untuk terus kekal teguh dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penjaga keadilan negara.
“Badan kehakiman akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Sam berkata, kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan ketika ini memberi tekanan besar kepada institusi kehakiman apabila kesemua tanggungjawab tertinggi kini terpaksa dipikul oleh hanya seorang individu iaitu Hakim Besar Malaya.
Katanya, meskipun pelantikan sementara beliau adalah sah di sisi undang-undang dan dianggap wajar berdasarkan pengalaman luas dalam badan kehakiman, pelantikan rasmi Ketua Hakim Negara yang baharu tidak boleh ditangguhkan demi kelangsungan dan kestabilan sistem keadilan negara.
Menurutnya, secara perundangan, Hakim Besar Malaya dibenarkan memangku tugas Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, namun dari sudut praktikal, ia membebankan dan menjejaskan keberkesanan pentadbiran.
“Dengan ketiadaan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan, maka Hakim Besar Malaya sebagai hakim ketiga tertinggi perlu menggalas tugas kedua-dua jawatan itu selain tugas hakiki beliau sendiri.
“Apabila semua tanggungjawab ini digalas oleh hanya seorang hakim, ia sudah tentu memberi tekanan kepada pentadbiran keadilan serta pengurusan harian badan kehakiman. Ini tidak wajar dibiarkan berlarutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz pula berkata, berdasarkan pengalaman luas Hasnah sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan dan kini Hakim Besar Malaya, beliau sememangnya layak untuk menjalankan jawatan tersebut buat sementara waktu.
“Tempoh persaraan beliau pada November 2025, jadi masih ada masa untuk beliau menyumbang secara efektif sebagai Ketua Hakim Negara.
“Tetapi kita tidak boleh nafikan tugas tersebut amat berat kerana bukan sekadar mendengar kes rayuan dan Perlembagaan, tetapi membabitkan isu-isu besar seperti kebebasan asasi dan tafsiran undang-undang tertinggi negara,” ujarnya.
Shamrahayu yang juga Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, meskipun pelantikan Ketua Hakim Negara tertakluk kepada proses perundangan menerusi JAC dan cadangan kepada Perdana Menteri, kelewatan yang berlaku ketika ini tetap menimbulkan tanda tanya.
“Saya tidak pasti apa punca sebenar kelewatan ini. Namun dari sudut kelayakan, kita tidak kekurangan calon.
“Ramai hakim Mahkamah Persekutuan yang layak walaupun sebahagian besar hampir bersara. Jika pelantikan dibuat lebih awal, peralihan dapat dirancang dengan lebih teratur,” katanya.
Tambah beliau, walaupun tidak perlu diwujudkan had masa secara bertulis dalam undang-undang, kesedaran dan keprihatinan terhadap kepentingan institusi kehakiman harus menjadi asas kepada kelancaran proses pelantikan.
“Proses pelantikan sememangnya melibatkan pelbagai peringkat termasuk daripada cadangan JAC, penilaian aspek keselamatan, kredibiliti calon dan saringan oleh agensi berkaitan.
“Tetapi yang penting, kekosongan tidak boleh dibiarkan terlalu lama. Ini akan beri kesan kepada kredibiliti dan kewibawaan institusi kehakiman kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula mempersoalkan pelantikan Hasnah sebagai pemangku dua jawatan tertinggi dalam badan kehakiman itu.
Katanya, langkah tersebut sebagai pelik, tidak pernah berlaku dalam sejarah kehakiman negara serta menimbulkan kecurigaan besar terhadap prinsip kebebasan badan kehakiman yang menjadi asas kepada sistem demokrasi berparlimen.
“Perkembangan itu turut mencetuskan persoalan terhadap ketelusan pelantikan dan kemungkinan wujudnya campur tangan pihak eksekutif dalam badan kehakiman negara.
“Ini satu perkembangan luar biasa dan janggal serta belum pernah berlaku dalam sejarah perundangan negara. Ia sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap sistem pemisahan kuasa yang sepatutnya dipelihara,” katanya dalam kenyataan semalam. – UTUSAN










