Darah keluar dari hidung Mohammad Zaharif – Kakak

Darah keluar dari hidung Mohammad Zaharif – Kakak

MOHD. Nazri Abdul Razak tiba di Mahkamah Tinggi Ipoh bagi perbicaraan kes bunuh yang dihadapi beliau, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kakak Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia melihat darah mengalir keluar dari hidung adiknya yang ketika itu sedang meronta-ronta kesakitan.

Menurut Nur Zawanie, 29, yang juga seorang jururawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), darah yang keluar itu mungkin disebabkan oleh kecederaan dalaman.

“Darah keluar melalui (hidung), saya rasa mungkin ada berlaku kecederaan di bahagian dalaman badan mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebabnya, jika ada kecede­raan dalaman, darah akan keluar melalui hidung dan telinga,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz di Mahkamah Tinggi semalam.

Menurut Nur Zawanie yang merupakan saksi pendakwaan ke-20, dia juga ada membuat panggilan kecemasan melalui talian 999 sebanyak dua kali ketika menenangkan adiknya yang sedang meronta kesakitan.

Katanya, panggilan kecemasan pertama dibuat pada pukul 12.17 tengah hari dengan panggilan kedua pula pada 12.23 tengah hari.

“Saya telah bertindak memanggil pihak ambulans kali kedua melalui panggilan te­lefon 999 kerana merasakan ia mengambil masa yang terlalu lama untuk sampai,” katanya.

Tambah Nur Zawanie, dia melakukan bantuan pernafasan (CPR) ke atas adiknya itu kerana mendapati tiada denyutan nadi selepas memeriksa di bahagian leher, pergelangan tangan dan celah kangkang mangsa.

Malah katanya, ketika dia membuka mata Muhammad Zaharif, anak mata itu juga telah mengembang (dilated).

“Saya terus memulakan CPR ke atas Zahariff dan kurang lima minit kemudian, ambulans sampai dan seorang penolong pegawai perubatan (MA) pula mengambil alih membuat CPR.

“Terdapat dua MA dari hospital, seorang MA yang kebetulan ada di tempat kejadian dan seorang ‘tagger’. Dua MA dari hospital bergilir-gilir melakukan CPR manakala MA awam membantu memasukkan IV line melalui tangan dan memasang pelekat ‘cardiac monitor’ pada badan Zaharif,” katanya.

Nur Zawanie berkata, selepas 20 minit CPR dilakukan ke atas Muhammad Zahariff, MA hospital mengisytiharkan mangsa tiada nadi.

“Saya juga nampak pada cardiac monitor bahawa Zahariff tiada nadi lagi,” ujarnya yang mempunyai pengalaman kerja sebagai jururawat selama lima tahun.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet yang memasuki hari ke-11 itu turut disertai Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin Hui. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini