Cerun runtuh, Jalan Kuala Tahan-Mat Daling terputus

Cerun runtuh, Jalan Kuala Tahan-Mat Daling terputus

KENDERAAN terkandas dari kedua-dua hala Jalan Kuala Tahan-Mat Daling akibat runtuhan cerun di Jerantut, Pahang. - GAMBAR IHSAN PENDUDUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Hujan berterusan sejak empat hari lalu menyebabkan cerun di jalan raya antara Kampung Tuit dan Kuala Tahan-Mat Daling berdekatan Kampung Kuala Sat di sini, runtuh.

Runtuhan cerun setinggi 10 meter yang berlaku tengah malam kelmarin menutup laluan termasuk dipenuhi lumpur dan digenangi air menyebabkan kenderaan dari kedua-dua hala terkandas.

Seorang penduduk Kampung Kuala Sat, Zulkifli Ahmad, 52, berkata, dia yang hendak keluar ke bandar Jerantut terkandas di laluan tersebut terpaksa berpatah balik.

“Keadaan laluan ini dipenuhi tanah berlumpur, air turun dari tebing berdekatan mengambil masa yang lama untuk dibersihkan. Situasi ini menimbulkan kesukaran kepada penduduk Ulu Tembeling keluar ke bandar,” katanya.

Menurut Zulkifli, memandangkan cuaca tidak menentu dan masih hujan, kemungkinan banyak lagi kawasan cerun runtuh mengambil kira kejadian seumpama itu kerap berlaku apabila tiba Monsun Timur Laut (MTL).

Sementara itu, penduduk Kampung Pagi, Dahalan Mohamad, 48, berkata, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Kampung Kuala Sat, dia terkejut melihat tanah dan lumpur sudah menutup jalan tersebut.

“Banyak kenderaan dari hala Kuala Tahan dan Kampung Pagi termasuk dari perkampungan Ulu Tembeling terkandas akibat runtuhan cerun berkenaan dan kejadian ini merupakan kali kedua selepas berlaku bulan lalu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN