MELAKA: Perasaan hiba menyelubungi pasangan suami isteri, Nazrul Nizam Mohd. Tahar, 29, dan Ainol Izzah Raslan, 25, selepas mendapat perkhabaran duka bahawa anak tunggal lelaki mereka berusia enam bulan, Harraz Noah Nazrul Nizam tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Merlimau, Jasin dekat sini, pagi tadi.
Nazrul Nizam berkata, lebih memilukan apabila anaknya itu baharu sahaja pandai memakan makanan pejal semalam, yang mana kegembiraan itu hilang dalam sekelip mata.
Ujarnya, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, pengasuh wanita berusia 27 tahun memaklumkan bahawa Harraz Noah tidak sedarkan diri dalam keadaan terlentang dengan sehelai selimut menutupi mukanya.
“Isteri hubungi saya pada pukul 11.40 pagi memaklumkan berkaitan kejadian. Keadaan ketika itu sangat mencemaskan kerana isteri menangis teresak-esak, dia cakap Harraz Noah tidak sedarkan diri di rumah pengasuh.
“Kemudian, ibu saya yang berdekatan dengan rumah pengasuh telah bergegas ke sana. Ibu maklumkan keadaan Harraz Noah bibirnya sudah biru. Pengasuh cakap muka anak saya tertutup dengan selimut ketika dia sedang melakukan kerja-kerja lain di rumah.
“Ibu terus bawa anak ke Klinik Kesihatan Merlimau sebelum dirujuk ke Hospital Melaka. Doktor memaklumkan anak saya sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini, hari ini.
Tambah Nazrul Nizam, meskipun sedih, dia dan isteri reda dengan ketetapan Ilahi dan enggan menuding jari kepada sesiapa atas tragedi yang menimpa.
Jelasnya, dia mengenali pengasuh terlibat melalui media sosial dan wanita itu mengakui mempunyai pengalaman menjaga bayi.
“Sebelum ini pengasuh itu jaga anak saya dengan baik tanpa ada sebarang masalah. Insya-Allah jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Merlimau selepas proses bedah siasat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes masih dalam siasatan. – UTUSAN