WAKAF bermaksud sesuatu yang diberikan atau didermakan untuk kegunaan orang ramai. Menurut pengertian istilah syarak, wakaf adalah menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan menyerahkan hak miliknya untuk manfaat umum sebagai sedekah jariah demi mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Wakaf merupakan amal jariah yang sangat dituntut dalam Islam. Allah SWT memuliakan para pewakaf kerana harta yang diinfakkan membolehkan manfaat yang berkekalan malah menjamin kesinambungan manfaat untuk kegunaan awam. Jika seseorang mewakafkan sebahagian hartanya lalu digunakan dan dimanfaatkan oleh orang ramai, pahalanya kekal walaupun pewakaf meninggal dunia.
Melalui wakaf, manfaat harta yang disumbangkan boleh dijana dan dikembangkan. Tanah kosong boleh dibangunkan untuk memberikan manfaat ekonomi dan sosial. Wang tunai boleh dilaburkan untuk menampung kos pengurusan dan pembangunan masyarakat.
Institusi wakaf berkembang menjadi pusat pembiayaan yang boleh mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan atau pinjaman. Wakaf juga berperanan besar dalam memperkukuh kesejahteraan sosial.
Melalui dana wakaf, bantuan dapat disalurkan kepada golongan fakir miskin, pelajar yang sedang menuntut ilmu, mangsa bencana, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta anak yatim. Wakaf menjadikan masyarakat saling menyantuni dan membantu, lantas menjalin hubungan kasih sayang dan membina perpaduan ummah.
Bentuk wakaf pada hari ini sudah banyak berubah, tidak terbatas berbentuk fizikal seperti tanah, bangunan atau harta tetap, sebaliknya, berkembang bersama kemajuan teknologi dan keperluan masyarakat semasa.
Antara bentuk wakaf yang semakin mendapat tempat dalam kalangan umat Islam ialah wakaf tunai. Ummah boleh berwakaf dalam bentuk wang tunai. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10 sehingga 12 April 2007, memutuskan berwakaf dalam bentuk wang tunai dibolehkan dalam Islam. Pendekatan ini membuka ruang lebih luas, membolehkan setiap lapisan masyarakat turut serta dalam amalan wakaf serta berpotensi memperkukuh dana kebajikan ummah secara berterusan.
Dalam berwakaf penting bagi setiap sumbangan, walau sekecil mana ialah aset berharga yang boleh dikembangkan untuk memberi manfaat kepada masyarakat merangkumi kegiatan-kegiatan agama, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kebajikan dan kemaslahatan ummah.
Semoga pihak menguruskan wakaf dapat mengembangkan harta wakaf secara profesional, telus dan strategik untuk menjamin limpahan pahala yang berterusan kepada pewakaf, bahkan menjadi pemangkin pembangunan negeri yang lebih baik seterusnya menjamin kesinambungan kesejahteraan ummah.-UTUSAN
MOHD YAKOP IKRAM
Ipoh, Perak











