Tradisi mengarak pasangan pengantin menunggang gajah yang pernah menjadi sebahagian adat kebesaran istana Melayu, kembali menyinari suasana apabila dihidupkan semula di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, baru-baru ini.
Budaya itu, yang suatu ketika dahulu menjadi simbol keagungan dan kemegahan dalam perkahwinan kerabat diraja, diangkat semula menerusi pasangan mempelai, Ahmad Nor Hafizan Mohamed, 35, dan pasangan, Nurul Aslina Saman, 36.
Keduanya tampil anggun dalam persalinan tradisi kuning diraja.
Perarakan masuk pasangan pengantin di atas gajah bernama Abot seolah-olah mengimbau kembali zaman kegemilangan istana, apabila gajah dijadikan tunggangan utama dalam acara perkahwinan diraja dan majlis penuh adat.
Majlis itu disempurnakan dengan adat menepung tawar oleh Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, diiringi persembahan budaya dan sorakan lebih 2,000 pengunjung termasuk pelancong asing.
Turut menyaksikan detik bersejarah ialah Ketua PKGK, Che Ku Mohd. Zamzuri Chik Wan Abd. Rahman, Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli serta dramatis terkenal, Haliza Misbun yang teruja melihat warisan lama ini dihidupkan kembali.
Abdul Kadir berkata, acara tersebut simbolik penting mendekatkan masyarakat kepada sejarah hubungan manusia dan gajah yang telah terjalin sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.
“Gajah bukan sahaja haiwan ikonik dalam pemuliharaan, tetapi pernah menjadi tonggak dalam adat istiadat diraja. Mengarak pengantin menaiki gajah membawa kita kembali kepada zaman kegemilangan istana yang penuh kemewahan dan nilai simbolik,” katanya.
Beliau berkata, usaha PKGK memperkenalkan kembali budaya ini wajar diteruskan sebagai sebahagian daripada pelancongan budaya negara, selain mendidik masyarakat gajah bukan ancaman, sebaliknya sahabat yang pernah mengiringi tamadun bangsa.
PELIHARA BUDAYA
Tambahnya, Perhilitan akan terus menyokong usaha menghubungkan aspek pemuliharaan dengan penghayatan budaya supaya generasi muda tahu sejarah bangsanya.
“Jika adat ini dapat diangkat sebagai tarikan pelancongan berasaskan budaya, ia mampu menjadikan Kuala Gandah sebagai destinasi unik di rantau ini. Kita bukan sahaja menjaga gajah, tetapi turut menjaga warisan Melayu,” ujarnya.
Ahmad Nor Hafizan yang bertugas sebagai mahut atau pawang gajah di PKGK sejak 2008 sebak kerana dapat menempuh detik bersejarah itu bersama insan tersayang.
“Saya rasa amat bertuah kerana dapat menghayati adat kebesaran yang pernah dilalui raja-raja Melayu terdahulu. Ia satu pengalaman yang tidak ternilai,” katanya yang berasal dari Kampung Bolok Hulu, Lanchang.
Baginya, gajah melambangkan kekuatan dan kesetiaan, sama seperti tekadnya membina rumah tangga bersama isteri tercinta yang berasal dari Kampung Cempaka, Lanchang.
Sementara itu, Nurul Aslina yang juga Ketua Puteri UMNO Pahang, menyifatkan pengalaman tersebut sebagai hadiah paling bermakna dalam hidupnya.
“Ia bukan sekadar majlis perkahwinan, tetapi satu penghormatan untuk menghidupkan kembali warisan yang hampir dilupakan. Saya berbangga menjadi sebahagian daripada sejarah ini,” katanya.
Haliza Misbun yang turut hadir pada majlis itu berkata, beliau terharu melihat tradisi perkahwinan menunggang gajah diangkat semula.
“Sebagai anak seni, saya melihat keindahan budaya ini wajar terus dipertahankan kerana ia mengandungi unsur dramatik yang tinggi, penuh dengan warna warisan dan mampu menjadi bahan karya seni yang mengagumkan,” ujarnya.
Seorang pelancong dari England, Edward Collins, 42, pula mengakui terpesona dengan pengalaman menyaksikan pasangan pengantin menaiki gajah.
“Ini benar-benar luar biasa. Saya sudah melancong ke banyak negara Asia, tetapi tidak pernah melihat perkahwinan dengan adat seunik ini.
“Ia menjadikan Malaysia bukan sahaja indah kerana alam semula jadinya, tetapi juga kerana tradisi yang masih hidup,” katanya.
Che Ku Mohd. Zamzuri berkata, inisiatif PKGK kali ini adalah usaha pertama menampilkan kembali adat itu dalam acara rasmi sempena Hari Gajah Sedunia.
“Kami mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa gajah bukan sekadar haiwan liar, tetapi simbol kemegahan bangsa.
“Ia juga bukti hubungan manusia dengan gajah telah berakar umbi sejak berabad-abad lalu,” jelasnya.
Menurutnya, PKGK bukan sahaja menjadi pusat pemuliharaan gajah liar yang diselamatkan, malah kini berkembang sebagai pusat pendidikan awam tentang warisan budaya yang berkait rapat dengan haiwan itu.
Tradisi perkahwinan menunggang gajah bukan asing dalam dunia Melayu.
Ia pernah digunakan untuk mengarak pasangan diraja atau tetamu kehormat dalam majlis kebesaran istana, sekali gus menzahirkan kuasa dan martabat pemerintahan.
Namun, seiring perubahan zaman, amalan itu semakin pupus dan hanya tinggal dalam lipatan sejarah.
Sambutan Hari Gajah Sedunia kali ini nyata mencatat sejarah baharu yang bukan sahaja meraikan haiwan ikonik itu, tetapi menghidupkan kembali adat kebesaran yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan Kesultanan Melayu.-UTUSAN










