SETELAH beberapa bulan Perlis dilanda kemarau dan cuaca panas bersama suhu tinggi melampau, kini fenomena berubah pula kepada suhu sejuk dan hujan.
Sejak beberapa hari lalu, boleh dikatakan setiap hari hujan turun di hampir seluruh Perlis, siang dan malam.
Sebagai insan kerdil, kita perlu terima apa sahaja ketetapan yang berlaku, cuma yang perlu ialah masing-masing harus pandai menyesuaikan diri.
Kalau semasa cuaca panas kita sering diingatkan agar tidak mendedahkan diri kepada panas terik matahari bagi mengelak terkena strok haba.
Kini musim hujan juga tidak kurang pentingnya untuk menjaga diri agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada seseorang.
Paling penting dalam keadaan sekarang, menjaga kesihatan diri masih perlu kerana keadaan hujan diselang seli dengan timbul juga panas matahari, boleh meninggalkan kesan buruk kepada daya tahan manusia.
Dengan sebab demikian, semua pihak terutama warga emas perlu berjaga-jaga semasa menjalankan aktiviti luar, sama ada bekerja di kebun, ladang, sawah dan seumpamanya.
Begitu juga dengan mereka yang gemar melibatkan diri dalam aktiviti luar seperti bersukan di padang, mengayuh basikal di jalan raya atau berjoging. Semua perlu lebih berhati-hati pada musim hujan sekarang.
Mengayuh basikal dalam keadaan hujan boleh membahayakan diri disebabkan jalan yang licin dan terdedah pula kepada kemalangan.
Ibu bapa juga perlu mengawasi anak-anak mereka dalam musim hujan terutama bagi mereka yang tinggal berhampiran parit atau sawah padi.
Hujan lebat boleh menyebabkan parit atau sawah ditakungi air dan ini membahayakan kepada kanak-kanak yang masih kecil apabila mereka terjatuh ke dalam air.
Anak-anak peringkat remaja juga perlu diawasi dalam musim hujan sekarang, khusus bagi mereka yang gemar memanjat pokok, kerana batang pokok amat licin selepas ditimpa hujan.
Pendek kata, musim hujan juga sama bahayanya kepada manusia seperti semasa panas terik dan suhu tinggi melampau sebagaimana dirasai rakyat Perlis beberapa bulan lalu.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis











