BAGAN SERAI: Penduduk di kawasan perumahan Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) Batu 6, Bukit Merah di sini membantah projek pembinaan kolam ternakan ikan keli yang sedang dalam pembinaan kerana terlalu dekat dengan rumah penduduk.
Wakil penduduk, Hamidah Noor, 58, berkata, penduduk membantah projek itu kolam itu juga terlalu dekat dengan Tadika Kemas, taska, surau dan taman permainan kanak-kanak.
Menurutnya, penduduk tidak membantah pelaksanaan projek ternakan itu sebaliknya hanya membantah lokasi kolam yang tidak sesuai iaitu hanya kira-kira 20 meter dari rumahnya.
“Kawasan pembinaan kolam ini juga sebahagiannya adalah kawasan taman permainan kanak-kanak, juga tidak sampai tiga meter dari Tadika Kemas serta taska,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Hamidah, difahamkan projek itu dikelolakan oleh persatuan penduduk kawasan itu di bawah Skim Program Sejati Madani.
Dia percaya jika lokasi kolam ternakan itu tetap dibuat di situ, ia akan mendatangkan kesan yang buruk kepada penduduk setempat khususnya rumah yang berdekatan.
Katanya, antara perkara yang dibimbangkan ialah pencemaran bau yang mungkin terpaksa dihadapi penduduk.
“Air dari kolam ternakan ikan ini sudah tentu akan dibuang ke dalam longkang kawasan perumahan ini kerana tiada saliran yang lain untuk membuang air dari kolam ternakan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk PPMS itu, Muhammad Firdaus Shohimi berkata, projek itu mendapat kelulusan daripada Jabatan Perikanan Negeri Perak.
Menurutnya, projek ternakan ikan keli di situ menggunakan kaedah ternakan Bioflok iaitu kaedah ternakan yang pertama seumpama itu dilaksanakan di Daerah Kerian.
“Kaedah ternakan Bioflok ini lebih mesra alam yang mana pencemaran bau busuk tidak akan berlaku. Terdapat beberapa kelebihan lain dengan menggunakan kaedah ini,” katanya.
Mengenai bantahan penduduk terhadap lokasi kolam yang terlalu dekat dengan rumah penduduk, Muhammad Firdaus berkata, bantahan mungkin disebabkan salah faham tentang kaedah yang bakal digunakan dalam projek ternakan yang akan dijalankan.
“Bantahan mungkin kerana kelewatan pihak persatuan memberi penjelasan kepada seluruh penduduk tentang kaedah ternakan yang akan digunakan. Mereka mungkin menyangka kolam ternakan yang akan dibangunkan mungkin sama dengan kaedah ternakan yang pernah mereka lihat dan berlaku pencemaran bau busuk,” jelasnya. – UTUSAN











