Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah terima ijazah kehormat dari MMU

Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah terima ijazah kehormat dari MMU

AL-SULTAN Abdullah dan Tunku Azizah Maimunah menerima Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan pada Majlis Konvokesyen MMU di Cyberjaya, Selangor. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Universiti Multimedia (MMU) melakar sejarah tersendiri apabila julung kali dalam sejarah mempersembahkan ijazah kehormat kedoktoran kepada pasangan diraja, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan tersebut disampaikan Canselor MMU, Tun Zaki Tun Azmi pada kemuncak Majlis Konvokesyen Ke-25, di sini hari ini.

Pasangan diraja berkenaan merupakan penerima ke-23 untuk ijazah itu sejak ia mula diperkenalkan MMU pada 2003 untuk sejumlah individu tertentu dalam pelbagai bidang.

“Persembahan berprestij ini mengiktiraf kepimpinan luar biasa mereka berdua dalam aspek pentadbiran serta memperakui legasi yang gemilang,” kata Zaki ketika berucap pada majlis konvokesyen itu.

Beliau menambah, pasangan ini memberi sumbangan besar kepada kestabilan dan kemamuran negara walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang pemerintahan.

Sementara itu, Sultan Pahang ketika bertitah, menyeru graduan tidak leka cabaran sosial semasa antaranya gejala buli yang serius malah boleh membawa maut kepada mangsa.

“Mereka yang biasa membuli berpotensi menjadikan tingkah laku itu sebagai tabiat sukar dibendung dan jika berlarutan dibimbangi mengancam keharmonian rakyat,” titahnya.

Justeru, bagindayang juga Yang di-Pertuan Agong ke-16 tidak mahu masyarakat kehilangan modal insan berpotensi besar dan universiti bukannya medan perpecahan tetapi wadah untuk pembentukan sahsiah positif.

Pada majlis itu juga, seramai 40 pegawai dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menerima skrol setelah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan iaitu sebahagian daripada peserta Siri Program Kepimpinan Pemecutan yang direka untuk memupuk serta memberdayakan pemimpin masa depan agensi itu.

MMU turut mengumumkan 12 pelajar terbaik dengan Anugerah Canselor diraih graduan dari Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik, Muhammad Asif Shaik Safaruddin.

Sepanjang majlis diadakan sehingga 9 Disember ini, seramai 3,657 graduan melibatkan sejumlah 1,172 penerima diploma manakala 2,141 lagi bagi ijazah sarjana muda dan 344 orang dalam ijazah pascasiswazah termasuk doktor falsafah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN