SUNGAI PETANI: “Dengan kepakaran dimilikinya sebagai anggota juruselam dalam unit elit itu, kami percaya dia akan ditemui jua dalam masa terdekat.”
Ujar Ahmad Tarmizi Safar, 54, bapa kepada anggota pasukan 22 Komando, Lans Koperal Ahmad Zulhilmi yang masih hilang di Banding, Perak.
Katanya, dia bersama isteri, Zuraida Abu Bakar, 54, juga menaruh harapan agar Ahmad Zulhilmi, 24, akan ditemukan dalam keadaan selamat.
“Naluri kami suami isteri kuat menyatakan bahawa anak kami masih lagi hidup,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Limau, Kota Kuala Muda di sini semalam.
Ahmad Tarmizi berkata, mereka menyerahkan usaha pencarian itu kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana pihak tersebut lebih mengetahui dan mempunyai kepakaran menjejaki orang hilang.
Katanya, dia membuat majlis bacaan Yasin dan solat hajat agar pencarian anaknya dipermudahkan.
Ahmad Zulhilmi mula menyertai pasukan Komando sejak lima tahun lalu.










