JERANTUT: Lima keluarga di Kampung Padang, Kuala Tahan di sini sengsara setiap kali hujan lebat kerana berdepan masalah takungan air akibat banjir kilat berikutan kawasan penempatan di situ tiada sistem perparitan untuk mengalirkan air ke sungai.
Lebih buruk, air masuk ke dalam rumah mereka dan merosakkan barangan jika tidak sempat dialihkan.
Seorang warga emas, Alias Ismail, 63, berkata, sudah 24 tahun dia berdepan masalah berkenaan yang tiada penyelesaian walaupun sudah diajukan kepada pihak berkaitan selain mengambil inisiatif sendiri membina parit.
“Sebagai seorang warga emas, saya sudah tidak mampu dari segi kudrat untuk mengalihkan barang-barang setiap kali banjir kilat berlaku” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Alias berkata, berdekatan dengan kediamannya, terdapat empat buah rumah lagi berdepan masalah sama dan kebanyakan penduduk di situ sudah beberapa kali mengajukan kepada pihak berwajib supaya membina longkang besar untuk mengalirkan air ke sungai ketika hujan lebat.
Katanya, dia bersama empat jirannya kerap membina parit untuk memudahkan air bertakung mengalir ke sungai tetapi tidak dapat bertahan lama kerana tanpa konkrit lagipun tidak mampu menampung kapasiti air mengalir jika berlaku banjir kilat.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Alang juga berkongsi masalah sama berkata, setiap kali hujan lebat hatinya dirundung kebimbangan air banjir kilat melimpah masuk ke dalam rumahnya.
“Air bertakung agak lama selepas hujan lebat dan kemungkinan mengundang pembiakan nyamuk dan serangga yang membahayakan selain tanaman sayur di belakang rumah rosak ditenggelami air,” katanya.
Ujarnya, penduduk di situ berharap pihak berwajib segera membina perparitan bagi kemudahan air mengalir ke sungai atau sebarang penyelesaian yang boleh menghindarkan takungan air.-UTUSAN











