PETALING JAYA: Penerima Hadiah Kajai pertama, Datuk Rosnah Majid meninggal dunia di Pulau Pinang, semalam selepas terjatuh di dalam bilik air.
Berita pemergian beliau dimaklumkan oleh kakak Allahyarham, Meriyam Majid yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mara.
Jenazah Rosnah difahamkan dibawa ke rumahnya di Taman Melawati, Kuala Lumpur untuk urusan pengebumian.
Allahyarham dilahirkan di Kampung Sungai Pial, Merbok, Kedah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Singkir dan Sekolah Menengah Merbok, Kedah sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Jalan Kolam Air, (sekarang Sekolah Menengah Puteri) Kuala Lumpur.
Beliau seterusnya menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi.
Minat membaca dan menulis mendorong beliau bekerja sebagai wartawan selama 20 tahun (1977-1997) dengan Utusan Malaysia.
Rosnah juga sering membuat temuramah dengan tokoh-tokoh politik sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang.
Allahyarham turut melaporkan berita dari tempat bergolak seperti konflik Iran-Iraq (1981-1984), membuat liputan pelaksanaan polisi Doi Moi di Vietnam (1988) serta konflik di Kemboja (1991).
Pada 1984, beliau menjadi penerima pertama Hadiah Kajai, hadiah kewartawanan Malaysia paling tinggi, ekoran tulisannya mengenai Empangan Tembeling yang dicadangkan oleh kerajaan dibina di Taman Negara, Pahang yang akhirnya projek itu dibatalkan.
Beliau juga dianugerahkan Fellow Journalist en Europe yang membolehkan beliau belajar kewartawanan di Centre pour Journalisme di Paris, Perancis (1985-1986).
Kemudiannya beliau dianugerahkan Nieman Fellowship, fellowship paling berprestij di dunia dalam bidang kewartawanan yang membolehkan beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Harvard, USA (1988-1989).
Beliau berhenti daripada Utusan Malaysia untuk menceburkan diri sepenuh masa dalam politik dan pada September 1995, beliau memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Merbok, Kedah.
Selepas berkhidmat sebagai Ketua Unit Khas di ibu pejabat UMNO Kuala Lumpur mulai Januari 1999, beliau berhenti untuk bertanding dalam pilihan raya umum pada November 1999 dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjong Dawai sebelum dilantik Exco Kerajaan Kedah.
Beliau kemudiannya bersara daripada politik dan melibatkan diri dalam perniagaan dengan menyertai firma perunding perniagaan EBM yang berpangkalan di Fort Lauderdale, Florida.
Rosnah kemudiannya menubuhkan firma perunding sendiri, Ramwell Sdn. Bhd. (Ramwell) pada 2007, yang memberi tumpuan hal ehwal kerajaan, perancangan dan komunikasi strategik.
Kemampuannya dalam memahami politik, ekonomi, media dan komuniti NGO telah menarik perhatian firma penasihat dari Washington, BrooksBowerAsia, yang melantik beliau sebagai Pengarah Negara untuk Malaysia dari tahun 2008 hingga 2010. – UTUSAN










