Tiga kali sehari rumah dinaiki air akibat fenomena pasang besar

Tiga kali sehari rumah dinaiki air akibat fenomena pasang besar

RUMAH penduduk yang dinaiki air berikutan fenomena air pasang besar di Kampung Bahagia Kiri di Teluk Intan, Perak semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sebahagian besar rumah penduduk di Kampung Bahagia Kiri di sini terjejas akibat fenomena air pasang besar yang melanda kawasan mereka sejak empat hari lalu.

Penduduk berkata, air pasang besar berlaku di kampung mereka tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi pada kira-kira pukul 5 pagi, pukul 5 petang dan pukul 7 malam.

Menurut penduduk, kawasan paling teruk terjejas ialah Lorong A dan Lorong B, Kampung Bahagian Kiri apabila banyak kediaman penduduk yang dinaiki air sehingga paras lutut.

Seorang penduduk, Datuk Roslan Abdullah, 62, berkata, air pasang besar naik sehingga ke kawasan penempatan penduduk berikutan kenaikan paras air Sungai Kerawai dan Sungai Bidor yang terletak berdekatan kampung mereka.

Menurutnya, sepatutnya air boleh dikawal daripada melimpah ke kawasan kampung namun disebabkan saluran air besar atau kelubong di kampung itu tidak mempunyai pintu automatik, air mudah masuk ke kawasan penempatan penduduk.

“Jika ada pintu air automatik, jika paras air Sungai Kerawai tinggi dan masuk ke kelubong, sepatutnya pintu kelubong boleh tertutup secara automatik dan menghalang air daripada mengalir masuk ke kampung.

“Di sini terdapat tujuh kelubong air namun tidak dilengkapi dengan pintu automatik. Sepatutnya air pasang besar boleh dikawal menerusi kelubong ini daripada masuk hingga ke kawasan penduduk,” katanya.

Menurutnya, air pasang besar menyebabkan ada penduduk yang mengalami kerosakan peralatan rumah akibat terkena air.

Katanya, selain itu penduduk juga sudah penat membersihkan rumah daripada sisa dan kotoran air besar yang masuk ke rumah mereka.

“Setiap kali air pasang besar, penduduk terpaksa membersihkan rumah mereka. Baru sahaja bersih rumah pada pagi, air pasang besar melanda lagi pada waktu petang, penduduk sudah penat dengan keadaan ini.

“Jika tidak dibersihkan, sisa air pasang besar yang bercampur dengan lumpur akan menjadi keras dan berbau busuk,” katanya.

Menurutnya, pihak yang berkenaan perlu melihat semula sistem pengairan berdekatan kampung itu bagi mengelak kejadian air pasang besar dan banjir semasa musim tengkujuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN