KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk membincangkan siapa calon poster boy Perikatan Nasional (PN) selain terlalu awal untuk bercakap soal strategi dan percaturan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kedudukan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Ahli Parlimen Perikatan Nasional diputuskan secara bersama dalam mesyuarat yang membabitkan pimpinan Bersatu dan Pas.
“Perikatan Nasional tidak pernah membincangkan secara spesifik tentang siapa calon Perdana Menteri untuk PRU-16 dan tidak ada keperluan pun untuk kita bincangkan tentang perkara itu.
Malah kalau nak adakan perbincangan sekali pun ia masih terlalu awal sebab fokus kita sekarang adalah kebajikan rakyat yang kini dihimpit dengan bebanan daripada dasar-dasar yang dibuat kerajaan.
“Cuba kita lihat, Datuk Seri Hamzah Zainuddin adalah Ketua Pembangkang di dalam Dewan Rakyat, tetapi Tan Sri Muhyiddin adalah Ketua Ahli Parlimen Perikatan Nasional. Maksudnya apa? Jika kita nak menghadapi pilihan raya, panglima kita siapa?
“Maka sebab itu, saya tidak nampak pemimpin lain yang perlu diangkat untuk menjadi calon Perdana Menteri kerana keputusan meletakkan Tan Sri Muhyiddin sebagai Ketua Ahli Parlimen PN itu adalah keputusan bersama dan bukan Bersatu semata-mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan yang Pas menafikan nama Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri dalam PRU-16 berikutan belum ada sebarang keputusan dalam gabungan PN bagi menentukan perkara berkenaan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Bersatu tidak boleh membelakangi Pas dalam menentukan jawatan penting tersebut melainkan ia adalah keputusan yang dipersetujui secara bersama.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal turut berkata, beliau yakin Pas tidak akan membuat keputusan secara bersendirian, sekali gus menegaskan sebarang keputusan akan dibuat bersama dalam mesyuarat PN.
“Saya hormat dengan pendirian Mursyidul Am Pas ini, namun saya juga yakin Pas tidak akan buat keputusan secara bersendirian. Malah, pelantikan Tan Sri Muhyiddin sebagai Ketua Ahli Parlimen PN adalah keputusan bersama dan ia bukan keputusan Bersatu sahaja.
“Malah, saya juga yakin Pas tidak akan buat keputusan sendiri sebab tidak ada mana-mana parti yang akan kuat jika bergerak secara solo. Maka dalam hal ini, tiada Bersatu dan tiada Pas, yang ada hanya Perikatan Nasional.
“Bukan Ahli Parlimen Bersatu yang melompat parti, tetapi ahli PN yang lompat parti kerana kita di dalam satu gabungan iaitu Perikatan Nasional,” ujarnya lagi. –UTUSAN











