KAMPAR: Penduduk Kampung Kota Bharu, Malim Nawar di sini, bakal mengkomersialkan rendang tok resipi warisan lebih 100 tahun kampung itu ke pasaran bermula 1 Disember ini hasil geran Program Sejahtera Komuniti Madani (Sejati Madani) sebanyak RM100,000.
Bendahari Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kota Bharu, Ramlan Zakaria, 60, berkata pemberian geran itu menyuntik semangat mereka mempopularkan menu berkenaan malah turut memberi peluang pekerjaan dan pengalaman keusahawanan kepada 13 orang yang menganggotai (JPKK) Kampung Kota Bharu.
“Ada tiga hingga empat pengusaha rendang tok di kampung ini yang memperturunkan resipi dari generasi ke generasi bagi mengekalkan keaslian dan keenakkan menu ini. Ramai mencubanya dan mendakwa rasanya lebih sedap berbanding rendang tok lain yang terdapat di pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Produk akhir dalam bentuk retort akan dipasarkan bagi membolehkan rendang tok ini tahan lama selain tidak mudah rosak malah semua proses bermula penyediaan sehingga pembungkusan menggunakan mesin canggih hasil geran Sejati Madani.
Kata Ramlan, pengenalan produk berkenaan memberi peluang kepada lebih 1,000 penduduk kampung menambah sumber kewangan sedia ada sebagai ejen dan wakil pemasaran dan setakat ini, ia beroperasi di bangunan seluas kira-kira 300 meter persegi. – UTUSAN










