PETALING JAYA: Trio kem Datuk Seri Hamzah Zainuddin menguasai jawatan Naib Presiden pada Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi penggal 2024/2027.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyertai Ketua Bersatu Sabah Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin untuk jawatan tersebut.
Ahmad Faizal yang juga Ketua Bersatu Bahagian Tambun meraih undi sebanyak 9,278 undi manakala dua penyandang iaitu Mohd. Radzi memperoleh undian tertinggi iaitu sebanyak 11,690 undi dan Ronald Kiandee 11,295 undi.
“Mereka menewaskan tiga calon lain, iaitu Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris; Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Mohd Rafiq Mohd Abdullah dan Ketua Bahagian Bersatu Batu Kawan, A’ziss Zainal Abiddin pada pemilihan parti,” katanya.
Bagi jawatan Pengerusi Tetap Bersatu pula dimenangi Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah dengan undi sebanyak 10,152 manakala Timbalannya Mohd Hanafiah Hamzah pula mendapat 7, 331
Abdul Azim menambah, sebanyak 169 bahagian berjaya bersidang, menjalankan pemilihan dan pengundian peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) .
“Sejumlah 74 Bahagian telah menjalankan pemilihan di peringkat Bahagian dan baki 95 Bahagian telah mencatatkan kemenangan tanpa bertanding bagi semua jawatan,” ujarnya.
Beberapa nama besar dalam Bersatu tersenarai sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Antara pemimpin yang tersenarai termasuk bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Indera Mahkota Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan Dr Afif Bahardin dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz turut dilantik sebagai MPT.
Selain itu turut diumum kecundang dan tidak tersenarai sebagai MPT ialah Ahli Parlimen Alor Gajah Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof. – UTUSAN










