Ronald sepatutnya berundur, bukan Muhyiddin

Ronald sepatutnya berundur, bukan Muhyiddin

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee perlu meletakkan jawatan ekoran kegagalannya mengetuai Bersatu Sabah sehingga mencatatkan prestasi buruk parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Ronald didakwa bukan sahaja gagal membentangkan perancangan strategik dan gerak kerja pilihan raya lebih awal, malah belum mengemukakan sebarang laporan pasca pilihan raya secara bertulis.

“Lebih memburukkan, Setiausaha Bersatu Sabah, Yunus Nurdin yang merupakan lantikan Ronald bersama beberapa pemimpin Bersatu Sabah cuba mengalihkan kesalahan tersebut kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tuduhan ini adalah tidak berasas kerana sejak awal lagi, autonomi penuh untuk telah diberikan di bawah Pengarah PRN Sabah, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ronald sendiri selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah tanpa sebarang campur tangan Presiden parti,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ronald yang mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan berundur bagi membolehkan proses pemulihan parti dapat dilaksanakan dengan berkesan bagi mengembalikan hala tuju perjuangan.

Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, tindakan Lembaga Disiplin sepatutnya telah lama diambil terhadap pemimpin berterusan melanggar Perlembagaan parti.

Katanya, Ronald justeru itu sepatutnya berperanan menghalang pemimpin Bersatu Sabah serta penyokong Hamzah daripada terus melanggar Perlembagaan dan keputusan parti.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Ronald kini tampil bukan untuk mempertahankan Perlembagaan dan keputusan parti, tetapi membela mereka yang berulang kali melanggarnya serta menentang keputusan parti sehingga menimbulkan persoalan mengenai niat sebenar beliau dalam menangani krisis dalaman Bersatu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN