Pupuk celik muzik sedari awal, daftar sekolah muzik

Pupuk celik muzik sedari awal, daftar sekolah muzik

MOKHZANI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggubah lagu dan konduktor muzik disegani, Datuk Mokhzani Ismail menyarankan kepada ibu bapa agar segera menghantar anak-anak mereka ke sekolah muzik sekiranya kecenderungan mereka dalam bidang tersebut, tinggi.

Kata beliau, langkah tersebut berhasil melahirkan penggiat muzik yang bukan sahaja bagus dan berkualiti malah mampu membawa perubahan kepada bidang berkenaan.

“Minat kepada bidang muzik harus disemai pada usia kanak-kanak, bukan apabila tak ada kerja, baru mahu jadi pemuzik.

“Kepada ibu bapa, kalau anak-anak menunjukkan minat dan bakat menjadi pemuzik, segera hantar mereka ke kelas muzik untuk belajar bermain instrumen.

“Sama juga halnya dengan cita-cita menjadi penyanyi, konduktor atau peniaga muzik sekali pun. Minat perlu dipupuk awal, kemudian barulah kita nampak ke mana perginya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mokhzani mengulas tentang industri muzik tempatan yang dikatakan masih kekurangan pemuzik-pemuzik berkualiti dan terpelajar.

Kata graduan Berklee College of Music itu lagi, skop bidang muzik sebenarnya meluas dan bukannya sempit seperti dianggap ramai pihak.

“Bidang muzik ini luas, ada instrumen, penulisan lirik, vokal, seni persembahan dan sebagainya. Seorang pemuzik, kalau layak, boleh menjadi pensyarah dan tenaga pengajar dalam bidang berkenaan.

“Jadi kalau seseorang itu sudah mulakan perjalanan mereka dalam bidang ini, teruslah melangkah,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN