KANGAR: Pas menafikan nama Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 berikutan belum ada sebarang keputusan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) bagi menentukan perkara berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh membelakangi Pas dalam menentukan jawatan penting tersebut melainkan ia adalah keputusan yang dipersetujui secara bersama.
Katanya, sekarang terbukti banyak kepincangan di dalam Bersatu dan mereka perlu insaf mengenai hakikat dan kedudukan tersebut.
“Syarat-syarat kelayakan memimpin, saya kira bahawa yang lebih layak untuk memimpin adalah Pas. Pertama, kita punyai kerusi yang lebih, jentera yang kuat di seluruh negara, maka ia perlu dipertimbangkan dengan sebaiknya.
“Meskipun Pas (pemimpin) hanya timbalan di dalam PN namun rekod kita di dalam Parlimen juga saya lihat lebih ke depan selain kerja-kerja masyarakat dan dalam apa-apa jua berlaku,” katanya mengulas kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bahawa PN tetap akan akan menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri dalam pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan selewat-lewatnya 2027.
Dalam temubual bersama sebuah portal berita, Ahmad Faizal dilaporkan berkata, perkara itu disepakati semua parti gabungan dalam PN sebelum ini dan pendirian tersebut dikekalkan.
Kata Ahmad Faizal, Muhyiddin merupakan pengerusi gabungan tersebut, justeru tidak timbul isu ada nama lain perlu ditonjolkan dan ditawarkan kepada para pengundi.
Pada masa sama, bekas Menteri Besar Perak itu juga berpendapat jika ada pihak atau nama lain mahu ditonjolkan menjadi Perdana Menteri lebih baik niat tersebut dimatikan saja.
“Setakat ini saya tidak nampak ada berpakat hendak namakan orang lain. Saya tidak tahulah kalau ada (calon lain hendak jadi Perdana Menteri) atau kalau ada cerita-cerita di belakang, saya tidak nampak,” katanya dalam temubual itu.
Tambah Hashim, bagi menentukan jawatan nombor satu jika PN menang dalam PRU16 perlulah diteliti panjang terlebih dahulu berdasarkan kenyataan dan hakikat.
Sementara itu, Hashim berkata, Pas sepatutnya atau sudah wajib mengemudi dan memimpin PN berdasarkan kelayakan parti itu.
“Pas wajib memimpin PN sekarang ini. Kita tidak ada rekod lompat parti meskipun kelemahan itu ada namun perkara pokok iaitu masalah lompat parti, kita tidak ada.
“Cuma orang Pas ini kita tidak berebut jawatan. Berdasarkan kelayakan, lebih baik serah pada Pas (kemudi PN) malah, penganalisis politik juga melihat keutamaan Pas untuk memimpin PN,” katanya.
Dalam laporan Utusan Malaysia baru-baru ini, penganalisis politik melihat Pas lebih layak dan sesuai mengemudi PN berbanding Bersatu bagi menghadapi PRU16.
Penganalisis politik Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain dilaporkan berkata, ia disebabkan kepercayaan yang semakin menghakis dalam kalangan rakyat dan akar umbi sehingga menyebabkan sokongan kepada Bersatu semakin lemah ketika ini.
Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali pula berkata, kesan daripada kestabilan negara yang semakin mengukuh menyebabkan Bersatu semakin ditolak rakyat dan ahlinya.
Selain penganalisis politik tersebut, bekas Ahli MPT Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman juga melihat keperluan Pas mengemudi PN memandangkan parti itu lebih berkuasa dan dominan selepas memerintah empat negeri berbanding Bersatu yang tidak mempunyai kuasa di peringkat negeri. – UTUSAN










