NOVEMBER pastinya meninggalkan impak cukup signifikan kepada arena politik Melaka dan para pemainnya, tidak kira Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN).
Tanggal 20 November 2021 yang mana berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh digelar sebagai hari kebangkitan BN khususnya UMNO, kemenangan 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan prestasi luar biasa.
PH pula hanya berupaya mempertahankan lima kerusi bandar mereka iaitu Bukit Katil, Bandar Hilir, Ayer Keroh, Kesidang dan Kota Laksamana.
Daripada perspektif berbeza, PN yang ketika itu bersama BN membentuk Kerajaan Keluarga Malaysia di peringkat Persekutuan, atas kertas prestasi gabungan itu tidak begitu memberangsangkan.
Namun boleh dipuji apabila mampu menumbangkan lawan di kerusi tradisi masing-masing iaitu BN di Sungai Udang dan PH di Bemban.
Setahun selepas itu yakni pada 19 November 2022, tiada siapa menjangka selera rakyat boleh berubah. BN gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bagai bulan jatuh ke riba, PN merampas Jasin daripada BN, Tangga Batu daripada PH dan mengekalkan Masjid Tanah manakala Alor Gajah dan Hang Tuah Jaya dimenangi PH.
Rabu lalu bersamaan 20 November 2024, maka genaplah tiga tahun usia PRN Melaka. Bagaimanapun, penggal DUN Melaka Ke-15 dijangka genap tiga tahun pada 27 Disember ini.
Ini bermakna pilihan raya kecil (PRK) tidak perlu diadakan, sekiranya wujud sebarang kekosongan luar jangka.
Bahasa mudahnya, Ketua Menteri Melaka Ke-13, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh boleh memohon pembubaran DUN Melaka pada bila-bila masa selepas tarikh itu sehingga genap lima tahun.
Tempoh dua tahun terakhir ini, proses pembahagian kerusi antara BN dengan PH menjadi antara perkara menarik untuk dibincangkan.
Penubuhan Kerajaan Perpaduan Melaka secara rasmi selepas 31 Mac 2023 berikutan peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali memberi gambaran bahawa BN perlu bersedia mengorbankan beberapa kerusinya kepada PH, atas dasar menghormati kerjasama di peringkat negeri dan Persekutuan.
Daripada 21 kerusi DUN dimenangi BN, UMNO menguasai 19 iaitu selain Gadek milik MIC dan Machap Jaya (MCA). Dalam PH pula, DAP memiliki empat kerusi iaitu Bandar Hilir, Ayer Keroh, Kesidang dan Kota Laksamana.
Bukit Katil merupakan satu-satunya kerusi dimenangi Parti Amanah Negara (Amanah). Ketiadaan kerusi dimiliki Parti Keadilan Rakyat (PKR) memungkinkan komponen itu bakal menjadi yang terkehadapan menuntut kerusi untuk ditandingi daripada BN. – UTUSAN










