PN tidak tolak kerjasama hadapi PRN Sabah

PN tidak tolak kerjasama hadapi PRN Sabah

“Pada masa ini, kami tidak campur tangan pembahagian kerusi di Sabah. Bagi kami, Bersatu akan bertanding atas tiket PN.” - RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) tidak menolak sebarang kerjasama dengan mana-mana parti untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, biarpun masih terlalu awal untuk membincangkan tentang kerjasama, namun mereka tidak menolak sebarang kerjasama sekiranya diperlukan.

Menurutnya, pada masa ini boleh dilihat parti-parti di Sabah juga sedang berkecamuk dalam menentukan kerjasama sesama mereka.

“Jika dilihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN adalah satu-satunya parti yang tidak masuk dalam kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan. Kita sendiri dan kita akan kekalkan sebegitu sehingga pilihan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, PN bersedia meletak calon pada PRN kali ini dan beliau yakin mereka mampu memenangi kerusi-kerusi yang ditandingi, namun jumlah kerusi belum ditentukan dan ia hanya akan diputuskan menjelang PRN17.

“Pada masa ini, kami tidak campur tangan pembahagian kerusi di Sabah. Bagi kami, Bersatu akan bertanding atas tiket PN,” katanya.

Ditanya tentang pemilihan Bersatu yang baru berakhir, jelasnya, beliau berjaya mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden untuk kali kedua dan ia jelas menunjukkan parti itu bersifat inklusif untuk bumiputera serta kaum-kaum lain yang diberi tempat di kedudukan yang tertinggi.

Mengenai pandangan veteran UMNO, Datuk Othman Desa yang mahu Bersatu kembali kepada UMNO, Ronald berkata, itu sekadar pandangan bersifat peribadi dan naratif politik yang dimainkan demi keselesaan pihak tertentu.

“Soal Bersatu perlu bergabung dengan UMNO itu hanya naratif politik yang dimainkan bagi keselesaan masing-masing.

“Bagi saya, Bersatu adalah parti yang sudah bertapak di negara ini dan telah dibuktikan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. Kita menang atas tiket PN dengan 74 kerusi. Ini menunjukkan penerimaan rakyat Malaysia pelbagai kaum terhadap parti ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN