Peluang TLDM buktikan keupayaan kepada rakyat, negara

Peluang TLDM buktikan keupayaan kepada rakyat, negara

ZULHELMY Ithnain memberi tabik hormat kepada pasukan perbarisan pada Perbarisan Ulung Panglima TLDM Ke-19 di Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Cabaran semasa yang semakin kompleks dan berterusan dihadapi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekarang  adalah peluang untuk pasukan itu menunjukkan kewibawaannya kepada rakyat dan negara ini.

Justeru, Panglima TLDM, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain mahu semua warga pasukan itu menggunakan pendekatan yang lebih inovatif untuk berdepan dengan perubahan dan cabaran tersebut dan memastikan setiap tindakan selari dengan visi angkatan bersenjata itu.

Menurutnya, ia juga menuntut semua warga pasukan itu untuk berusaha lebih keras, berfikir dengan lebih mendalam dan bekerjasama dengan lebih erat.

ADAPTASI

“Cabaran ini bukanlah halangan, malah peluang untuk kita menunjukkan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia bahawa TLDM adalah ‘robust’ (teguh) dan fleksibel iaitu mampu mengadaptasi dan menghadapi pelbagai situasi dan keadaan dari semasa ke semasa.

 “Mari kita ubah pelbagai cabaran ini menjadi peluang,” jelasnya ketika berucap sempena Perbarisan Ulung Panglima TLDM Ke-19 di Kapal Diraja (KD) Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut di sini hari ini.

Perbarisan melibatkan 554 anggota TLDM diketuai Komander Muammar Ghadaffi Yaakub itu diadakan di Dewan Senaman KD Pelandok, berikutan hujan lebat, manakala acara Lintas Hormat pesawat terpaksa dibatalkan.

Hadir sama, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin.

Menurut Zulhelmy, cabaran itu datangnya daripada pelbagai faktor termasuk politik, ekonomi, sosial dan keselamatan di peringkat serantau dan global. 

Katanya, walaupun cabaran itu berubah seiring dengan peredaran masa, tanggungjawab dan misi pasukan itu kekal sejak penubuhan TLDM pada 1934. 

TERAS

Beliau juga telah menggariskan empat teras utama dalam memacu hala tuju TLDM didahului dengan usaha memastikan kesiagaan armada sebagai fokus utama. 

Kemudian, memperkasa Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 atau ‘Platform’; Ketiga, mengukuhkan integrasi dan sinergi antara angkatan dan terakhir ialah memperkasa pengurusan sumber manusia.

 Bagi membolehkan hasrat keempat-empat teras itu tercapai, beliau menyarankan agar tiga keutamaan diberi perhatian iaitu memperkukuh nilai integriti, mengkaji dan membangunkan dasar serta proses kerja semasa dan ‘Back to Basics’ (kembali ke asal).

“Inisiatif-inisiatif ini dirangka mengikut perspektif saya dengan turut mengambil kira keadaan semasa.

“Pada hemat saya, inisiatif ini relevan kerana telah mencakupi pelbagai aspek,” jelasnya lagi.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa inisiatif itu bukanlah penentu kepada kejayaan perkhidmatan kerana masih terdapat banyak ruang yang perlu dipertingkatkan. 

Zulhemly yakin barisan kepimpinan dan warga TLDM akan mencetus lebih banyak idea bernas, perancangan yang lebih sistematik dan moden sejajar dengan perubahan landskap semasa bagi menjamin kesinambungan kecemerlangan TLDM.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN