NAFAS digantung perlembagaan bermula 1 November

NAFAS digantung perlembagaan bermula 1 November

AMIR MATAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) digantung perlembagaan berkuatkuasa 1 November sehingga penarikan semula diumumkan kelak.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Amir Matamin berkata, ia susulan berlakunya kecelaruan dalam usaha mentadbir sehingga menjejaskan kepentingan pertubuhan terhadap anggota di bawahnya.

Beliau yang juga Pendaftar Pertubuhan Peladang berkata, keputusan itu diambil selepas konflik dalaman itu berlaku semasa perintah moratorium selama sembilan bulan bermula 7 Februari sehingga 31 Oktober lalu bertujuan memperbaiki tatakelola dan tadbir urus NAFAS.

“NAFAS memerlukan tindakan pemulihan segera ekoran isu-isu konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan NAFAS dari segi operasi dan fungsinya.

“Namun, isu-isu yang berbangkit ini menunjukkan bahawa usaha menambahbaik tatakelola dan tadbir urus NAFAS semasa di dalam tempoh moratorium tidak dihayati dengan baik oleh Jemaah Pengarah NAFAS,” katanya dalam sidang akhbar Reformasi Tatakelola Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) di sini semalam.

Akta penggantungan itu dikeluarkan di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).

Semasa tempoh penggantungan, NAFAS akan diurus dan ditadbir oleh barisan pentadbir-pentadbir yang akan dilantik oleh Pendaftar dalam pengurusan hal ehwal pertubuhan.

Mengulas lanjut, Amir berkata, NAFAS akan terus beroperasi seperti biasa dengan pegawai dan kakitangan sedia ada agar urusan pentadbiran dapat dijalankan.

“Saya akan memantau tindakan-tindakan itu yang akan fokus kepada pemulihan semula NAFAS selaras dengan objektif memperkasakan semua tatakelola dan tadbir urus yang baik untuk kepentingan peladang-peladang,” katanya.

Mengulas isu kartel baja padi bernilai RM1.8 bilion, Amir berkata, masih tiada maklum balas diterima daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan siasatan tersebut.

Katanya, bagaimanapun, menerusi akta di bawah Seksyen 19, Pendaftar diberikan kuasa untuk melaksanakan audit dan siasatan dalaman.

“Yang berkaitan SPRM, kita serah pada mereka tetapi Pendaftar ada budi bicara untuk melantik siasatan dalaman sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN