JOHOR BAHRU: Kementerian Pertahanan (Mindef) mengkaji sama ada terdapat keperluan membeli terus helikopter bagi kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan bukan menyewa seperti cadangan sebelum ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata, perkara itu bakal memakan tempoh lebih lama kerana ketiadaan helikopter tersedia mengikut spesifikasi dikehendaki.
“Kita perlu faham usaha mendapatkan satu-satu perolehan aset akan memakan masa. Dalam konteks helikopter Black Hawk yang ingin diperoleh TDM, mereka perlu buat kajian untuk mendapatkan helikopter yang mengikut spesifikasi dikehendaki.
“Saya percaya ini sedang diusahakan, perancangan awal adalah untuk menyewa helikopter bagi tempoh lima tahun dan bukan membeli. Tetapi jika itu tidak dapat diteruskan, mungkin kita perlu fikir untuk membeli, tetapi itu mungkin memakan masa lebih lama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serahan Zakat Wakalah Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) di Masjid Muhajirin, Masai, Pasir Gudang, dekat sini semalam. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Ir. Azizul Azily Ahmad.
Pada 6 November lalu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi memaklumkan Mindef mengemukakan notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk kepada syarikat kontraktor yang gagal membekalkan pesawat itu bagi kegunaan TDM.
Keputusan itu dibuat selepas syarikat berkenaan tidak memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan walaupun dilanjutkan sehingga hujung Oktober lalu.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Malaysia tidak perlu mengikut tindakan Filipina mengeluarkan peta baharu yang menyaksikan pertindihan dalam kawasan maritim negara di Laut China Selatan.
Katanya, tindakan mengeluarkan peta baharu menunjukkan terdapat perubahan, sedangkan peta negara tiada sebarang perubahan serta masih terpakai hingga kini.
“Peta kita tidak berubah, yang berubah adalah peta mereka (Filipina), mereka ubah sempadan peta dan memasuki kawasan kita, peta kita tetap peta kita.
“Sehubungan itu, kita akan tetap pertahankan kawasan negara dan kedaulatan kita menerusi saluran diplomasi mengikut undang-undang antarabangsa,” katanya.
Walau bagaimanapun, Mohamed Khaled menjelaskan, tindakan Filipina bukan satu bentuk serangan terhadap negara, sebaliknya hanya melibatkan isu pertindihan kawasan.
“Semua mesti faham ini bukan satu serangan dari sebuah negara kepada negara kita, ia hanya melibatkan soal tuntutan bertindih. Jadi, pendekatan kita guna adalah berdiplomasi.
“Selagi boleh berbincang dan berunding, kita akan gunakan pendekatan mengikut undang-undang antarabangsa. Bagi menunjukkan itu kawasan kita, kita akan lakukan show of presence dan maritime domain awareness di kawasan tersebut,” jelasnya. – UTUSAN











