TELUK INTAN: Persatuan Pelancongan Teluk Intan menyambut baik larangan mengadakan perhimpunan yang dikatakan untuk mengibar Jalur Gemilang di Dataran Menara Condong di sini oleh pihak tertentu Sabtu ini.
Pengerusinya, Fong Seow Kai berkata, Dataran Menara Condong tidak sesuai dijadikan lokasi perhimpunan kerana ia adalah kawasan tumpuan pelancong.
Menurutnya, selain itu ketika ini bukan masa yang sesuai untuk mengadakan perhimpunan seperti mengibar Jalur Gemilang kerana tiada sebarang sambutan berkaitan seperti Hari Kebangsaan atau Bulan Kemerdekaan ketika ini.
Katanya, larangan mengadakan perhimpunan itu juga bagi mengelak kejadian isu mengibar bendera negara China baru-baru ini terus dijadikan isu politik.
“Kawasan Dataran Menara Condong tidak sesuai untuk dijadikan tempat sebarang perhimpunan kerana tempat itu adalah untuk pelancong dan untuk orang ramai dan bersantai. Jika hendak mengadakan program mengibar Jalur Gemilang pun, sambutan Hari Kebangsaan sudah lepas.
“Saya harap janganlah ambil satu-satunya tempat orang ramai, berbilang kaum bersantai di dataran ini, yang sekali gus melambangkan keharmonian hidup pelbagai kaum di negara ini. Juga jangan cemari dataran ini demi kepentingan politik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, orang ramai yang ditemubual juga menyambut baik larangan mengadakan perhimpunan pada Sabtu ini kerana dibimbangi boleh menimbulkan suasana tidak harmoni.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, perhimpunan itu juga pasti akan menjejaskan kedatangan pelancong seperti yang berlaku selepas kes kibar bendera China disusuli tindakan mengibar Jalur Gemilang baru-baru ini.
Katanya, perhimpunan bermotif politik menjejaskan peniaga di situ seperti yang berlaku baru-baru ini apabila kedatangan pelancong ke situ merosot selepas isu kibar bendera China dan Jalur Gemilang. – UTUSAN









