‘Lapangan terbang pun bergelap, ke mana pelan Hajiji?’

‘Lapangan terbang pun bergelap, ke mana pelan Hajiji?’

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemudahan asas di negeri Sabah yang tidak stabil membuktikan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 (2021-2025) masih gagal dilaksanakan.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal berkata, Ketua Menteri Sabah sepatutnya menilai garis kemiskinan dengan realiti yang dihadapi rakyat Sabah.

Katanya, masih banyak infrastruktur terjejas menyebabkan ramai rakyat negeri itu berhijrah ke Semenanjung bagi mencari pendapatan untuk menampung kos sara hidup.

“Kalau dia (Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor) mahu cakap miskin tegar sudah selesai, dia sepatutnya turun dan rakyat perlu melihat sendiri kepemimpinan pentadbiran di bawahnya.

“Jarang sekali kalau kita kata Sabah Maju Jaya tetapi Lapa­ngan Terbang Kota Kinabalu pun gelap tiada elektrik, sudah berapa kali? Air pun kadang ada kadang tiada. Masalah sebegini pun tidak boleh diatasi.

“Malah, dalam belanjawan negeri memperuntukkan RM7 bilion, ditambah di peringkat Pusat RM6 bilion menjadikan hampir RM13 bilion, tetapi masalah belum selesai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Hajiji sebelum ini yang me­ngumumkan kejayaan kerajaan menoktahkan miskin tegar di Sabah pada akhir Julai lalu.

Menurut Hajiji, kejayaan itu adalah hasil komitmen semua pihak di Sabah selaras aspirasi Kerajaan Madani dan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 (2021-2025).

Malah jelas beliau, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Sawit Kinabalu adalah antara yang membantu usaha kerajaan menghapuskan miskin tegar di negeri berkenaan.

Mengulas lanjut dalam hal ini, Shafie berkata, masalah miskin tegar boleh diselesaikan menerusi beberapa pendekatan termasuk fokus kepada potensi sesebuah kawasan yang boleh dibangunkan.

“Kita perlu fokuskan pembangunan di daerah-daerah tertentu. Setiap daerah ada potensinya. Kita perlu tahu sumber di sesetengah kawasan tersebut.

“Sewaktu saya Ketua Menteri dulu, saya mengenal pasti 20,000 untuk tanaman sayuran sebagai keterjaminan makanan. Di Trusan Sapi ada 10,000 hektar tanah tanaman padi, 20,000 ekar tanah Telupid, banyak pemuliharaan gajah dan binatang buas. Ini yang saya katakan perlu ada pembangunan yang seimbang,” katanya.

Menurut Shafie, pemba­ngunan yang seimbang itu diyakini mampu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah, sekali gus mengembangkan sektor ekonomi negeri itu.

“Kita tidak mahu rakyat di Sabah terus menjadi miskin dalam negeri mempunyai sumber yang kaya. Kerana itu, perlu adanya universiti awam dengan lebih banyak, sekarang cuma ada satu universiti sahaja iaitu Universiti Malaysia Sabah. selebihnya dihantar ke semenanjung, utara dan selatan.

“Tetapi semua itu tidak berlaku kenapa? rasuah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN