PETALING JAYA: Kertas siasatan membabitkan seorang pensyarah menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan dalam proses untuk dilengkapkan.
Kata beliau, setakat hari ini, sebanyak sembilan laporan polis telah diterima polis berkaitan isu ini.
“Kita (polis) sudah mengambil keterangan lima individu yang terlibat secara langsung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 26 November lalu, keterangan seorang pensyarah diambil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 28 soalan telah dikemukakan polis terhadap pensyarah berkenaan.
Lelaki berkenaan hadir bersama peguamnya semalam bagi dirakam keterangan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
Pada 21 November lalu, polis membuka kertas siasatan berhubung hantaran media sosial Facebook yang memaparkan seorang ahli akademik menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.
Berdasarkan laporan polis, pengadu telah mengesan satu hantaran yang dimuat naik oleh pemilik Facabook Dakwah Sunnah II berkaitan individu iaitu pensyarah di sebuah universiti tempatan yang dikatakan telah mencetuskan provokasi.
Hantaran berkenaan memaparkan lelaki berkenaan telah mengeluarkan kenyataan dengan menghina Nabi Muhammad di dalam Program yang dikendalikan oleh individu tersebut.
Antara kata-kata yang dilontarkan oleh individu nama Nabi Muhammad dan isteri Sayidatina Aisyah R.A menjadi bahan lawak hambar yang tidak beradab sekali gus mencalar kesucian peribadi baginda dan keluarganya
Lebih parah apabila lawak pensyarah berkenaan disambut gelak ketawa oleh para hadirin yang dihadiri oleh agamawan yang kononnya kelompok mereka sahaja ikut sunnah.
Tambah beliau, dalam lakonannya, penglipur lara tersebut secara sinis mengeluarkan kenyataan lain yang biadab.
Pensyarah itu juga melakonkan watak Rasulullah sambil membuat mimik wajah yang buruk dan mengucapkan kata-kata sindiran. – UTUSAN










