SUNGAI SIPUT: Seorang penduduk kampung di Felda Lasah dekat sini hidup tidak tenteram kerana rumahnya berisiko dihanyutkan sungai akibat hakisan tanah.
Rumah yang diduduki Hamdan Ibrahim, 53, di Kampung Pelador kini seakan sudah berada di tebing Sungai Pelus akibat hakisan tanah yang berlaku sejak beberapa tahun.
Semasa tinjuan Utusan Malaysia, jarak rumahnya dengan sungai tidak sampai 15 meter dan keadaan itu merisaukan dirinya yang tinggal bersama keluarga.
“Hakisan berlaku setiap tahun. Dulu jaraknya agak jauh, tetapi kini semakin hampir dengan rumah. Air sungai membuatkan tanah rebak. Sukar untuk saya menghilangkan rasa risau,” katanya yang telah tinggal di situ sejak lebih 20 tahun.
Rasa risau itu semakin menebal susulan kejadian banjir besar yang disifatkan terburuk sejak 2014 di Sungai Siput baru-baru ini, apabila Sungai Pelus naik dan menenggelamkan beberapa rumah di kawasan tersebut.
Hamdan berkata, meskipun rumahnya berada di atas tanah yang sedikit tinggi berbanding rumah lain, ia tidak memberi jaminan keselamatan kepada dirinya dan keluarga.
Katanya, nasib yang sama turut dialami oleh beberapa jirannya yang turut menghadapi risiko yang sama.
Jelasnya, aduan telah dikemukakan sebelum ini dan mengharapkan bencana banjir yang berlaku dapat membuka mata pelbagai pihak terhadap keselamatan penduduk kampung.
Dia bersama keluarganya merupakan antara mangsa banjir yang terjadi pada pertengahan Oktober lalu, dan terpaksa meninggalkan rumah masing-masing untuk ditempatkan di pusat penempatan sementara (PPS). – UTUSAN










