Bersatu-Pas tak bergaduh isu PM: Muhyiddin

Bersatu-Pas tak bergaduh isu PM – Muhyiddin

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada pergeseran yang berlaku antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas berhubung isu siapakah calon perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, hubungan kedua-dua parti itu sebenarnya dalam keadaan yang baik meskipun perkara itu ditimbulkan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin.

Namun begitu katanya, beliau terbuka dengan pandangan tersebut dan menyerahkan kepada kepimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk menentukan calon perdana menteri yang layak untuk diangkat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Ini bukan keputusan dari diri sendiri, ini adalah keputusan yang kolektif secara bersama dan musyawarah secara terbuka. Saya memang tidak ada apa-apa. Its’s up to you (terpulang kepada mereka). Kalau sampai masa dah ada orang yang layak, saya okay. Saya tidak pun kata oh tak boleh, mesti saya.., tidak.

“Tetapi prinsipnya, mesti musyawarah, mesti bincang. Saya pun pernah cakap..saya tidak payah ada dalam mesyuarat itu..mungkin mereka segan dengan saya. You bincang, kalau kata A, A. Kalau kata B, B, sebab sebenarnya tiada perbalahan, medialah..nampak kita macam dah tunggang-terbalik dah. Lillahi Taala memang tidak ada.

“Sentimen lumrah manusia kalau Mursyidul Am Pas kata begitu okay..itu kata dia..itu demokrasi segar, tetapi dari segi medialah nampak macam bergaduh besar, tidak ada. Ia bukan begitu sebab kita tenteram betul,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini semalam.

Sebelum ini, Hashim berkata, belum ada sebarang keputusan dalam gabungan PN bagi menentukan perkara berkenaan, sekali gus beberapa pemimpin Bersatu memberi respon tentang kenyataan Mursyidul Am itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, sehingga hari ini beliau tidak mendapat sebarang arahan termasuk daripada Presiden Pas untuk melepaskan jawatan yang dipegang sebagai Pengerusi PN.

“Saya nak beritahu, jawatan ini tiada rebutan. Sehingga hari ini Abdul Hadi tidak bersuara menyuruh saya berhenti. Siapa pun mahu memimpin tiada masalah cuma lakukan dengan amanah.

“Cuma saya puji Pas memang sifat mereka sangat berlapang dada dan bersifat terbuka untuk Bersatu memimpin PN. Saya bagi contoh kalau ikut formulanya, kerusi Pas lebih, jadi sepatutnya Pas menjadi Pengerusi Perikatan Nasional. Tetapi disuruh saya. Jadi bila kita nak mula di Parlimen, kita bincang siapa ketua pembangkang? Saya bagi tahu Ustaz Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang)..Tok

Guru you (awak) lah. Takiyuddin (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) atau sesiapa, tetapi Tok Guru kata, no no no serah pada Tan Sri.

“Saya pun kata, Hamzah (Datuk Seri Hamzah Zainuddin), you (awak) lah jadi Ketua Pembangkang. Itu sejarahnya yang sudah berlaku,” ujarnya.

Untuk rekod, PAS menyandang 43 kerusi di Dewan Rakyat, terbesar dalam PN berbanding Bersatu yang memiliki 25 kerusi, selain turut mengetuai pentadbiran kerajaan Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Pada PRU 2022, Bersatu menang 31 kerusi Parlimen sebelum hilang enam apabila Ahli Parlimen Bukit Gantang, Labuan, Jeli, Gua Musang, Kuala Kangsar dan Tanjong Karang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas tentang hubungan kedua-dua parti itu, Muhyiddin berkata sememangnya tiada langsung ‘keretakan’ antara Bersatu dan Pas kerana banyak perkara dibincangkan secara formal mahupun tidak termasuk isu yang timbul berkaitan calon Perdana Menteri ini.

“Di Parlimen, kami berjumpa selalu, sebelah saya Ustaz Hadi, Tuan Ibrahim (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man), belakang saya Takiyuddin. Kita tidak formal sangat, bila nak bincang, datang ke rumah saya minum kopi, ini sudah jadi amalan. Saya pergi rumah Ustaz Hadi, kita bincang secara santai.

“Tidak ada petanda nak berpisah atau mufaraqah, Hubungan kami sangat baik dan kita faham sesama sendiri. Apabila berkaitan hala tuju dan dasar kita sepakat, tidak bergaduh pun. Tentang isu calon Perdana Menteri ini pun, casually kita adalah bincang, tetapi tidak bergaduh pun,” kata­nya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×