Banjir: Melaka, Johor turut buka pusat pemindahan sementara

Banjir: Melaka, Johor turut buka pusat pemindahan sementara

BEBERAPA penduduk berada di hadapan sebuah rumah yang dinaiki air di Kampung Paya Kenangan Desa Mutiara Johor Bahru , Johor, baru-baru ini.- UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah penduduk terjejas akibat banjir yang melanda tujuh negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Perak dan Selangor terus meningkat dengan lebih 80,000 mangsa daripada 24,539 keluarga setakat 11.30 pagi ini.

Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 519  pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.

Kelantan masih merekodkan angka mangsa banjir tertinggi dengan 60,543 orang membabitkan 18,852 keluarga yang ditempatkan di 227 PPS di 10 daerah negeri berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara daerah yang terjejas Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Kuala Krai, Bachok, Pasir Puteh, Kota Bharu, Machang, Jeli dan Gua Musang.

Terengganu mencatatkan sejumlah 14,631 mangsa daripada 4,340 keluarga terlibat yang kini ditempatkan di 232 PPS.

Selain itu, di Kedah pula, sejumlah 2,331 mangsa melibatkan 811 keluarga ditempatkan di 36 PPS melibatkan lima daerah terjejas iaitu Kubang Pasu, Sik, Pokok Sena, Padang Terap dan Kota Setar.

Negeri Sembilan mencatatkan sejumlah 1,349 mangsa daripada 355 keluarga terlibat yang kini ditempatkan di sembilan PPS.

Perak pula mencatatkan 61 mangsa daripada 20 keluarga di daerah Batang Padang dan Kerian di 2 PPS.

Sementara itu, Perlis juga mencatatkan sejumlah 404 mangsa daripada 121 keluarga manakala Selangor mencatatkan 161 mangsa daripada 40 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di daerah Klang.

Dalam pada itu, Melaka dan Johor juga sudah membuka PPS bagi bersiap sedia menempatkan mangsa banjir.

Dalam perkembangan lain, hujan lebat berterusan di Kelantan menyebabkan paras air di tujuh sungai terus melepasi tahap bahaya.

Ia melibatkan Sungai Melor di Jambatan Melor, Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Semerak di Pasir Puteh.

Selain itu, Sungai Kelantan di Kusial, Sungai Golok di Kuala Jambu dan Sungai Kelantan di Kusial Baru.

Sementara itu, paras air di tiga sungai pula sudah melepasi tahap amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Gakas di Chegar Lapan dan Sungai Pahi di Kampung Pahi.

Pada masa sama, paras air tujuh sungai turut mencatat bacaan melepasi tahap berjaga-jaga. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini