Azmin yakin PRU16 berlangsung tidak lama lagi

Azmin yakin PRU16 berlangsung tidak lama lagi

AZMIN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meluahkan keyakinannya bahawa pilihan raya mengejut akan berlaku tidak lama lagi iaitu sebelum kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan penggalnya.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Azmin Ali berkata, beliau yakin Bersatu merupakan sebuah parti yang akan meneraju masa depan negara.

Oleh itu, kata beliau, semua perwakilan Bersatu perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya yang akan berlaku sebelum tahun 2027.

“Saya percaya dengan asakan rakyat pada hari ini yang telah mengisytiharkan Kerajaan Madani adalah kerajaan yang gagal, maka Putrajaya tidak ada pilihan melainkan membubarkan Parlimen.

“Kita bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya semasa ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan sayap-sayap Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini hari ini.

Perhimpunan kali ketujuh itu dihadiri barisan kepemimpinan parti dan lebih 2,000 perwakilan Armada, Srikandi, Srikandi Muda dan Bersekutu.

Dalam pada itu, Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang berkata, ahli Bersatu kini sudah melonjak kepada 700,000 berbanding 610,000 pada tahun lalu.

Jelasnya, Bersatu juga berjaya mencatat parti politik di negara ini yang mempunyai jumlah bahagian terbesar iaitu sebanyak 202 bahagian merangkumi 7,928 cawangan berdaftar di seluruh negara.

“Kesemua jumlah keahlian yang dilaporkan tadi termasuk juga ahli bersekutu yang telah mencecah 30,000 orang sehingga hari ini. Ini sekali lagi membuktikkan bahawa parti Bersatu adalah parti yang mewakili semua rakyat.

“Saya berikar bahawa pentadbiran yang baharu dengan sokongan ibu pejabat, kita akan turun ke lapangan dan membantu akar umbi di peringkat cawangan dan bahagian dalam rangka untuk memperkuatkan parti.

“Dengan jumlah keanggotaan yang lebih besar, jumlah bahagian lebih banyak sebagai persiapan kita untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) dan PRU yang tidak semestinya pada tiga tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN