PUTRAJAYA: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran yang dibawa Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali adalah sesat kerana mempunyai ciri-ciri menyeleweng daripada ajaran Islam.
Sehubungan itu, pengikut dan pemegang ajaran tersebut hendaklah bertaubat nasuha.
Pengerusi MKI, Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, pihaknya berpandangan demikian setelah yakin dan berpuas hati dengan hujah dan fakta dikemukakan yang mengkaji ajaran, pegangan dan fahaman dibawa oleh Nasiruddin.
Katanya, ia dibuat setelah mendapati kumpulan tersebut mempercayai bahawa Asy-Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi merupakan Imam Mahdi di samping pengasas Al-Arqam, Asaari Muhammad akan muncul bersama sebagai pembantunya pada akhir zaman.
“Asaari Muhammad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya. Selain itu, air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman seperti rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat.
“Mereka juga mengamalkan ekonomi ma’ash yang mempunyai unsur perhambaan yang mana keperluan pengikut akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat dan sebagai balasan, mereka dikehendaki berkhidmat secara sukarela tanpa sebarang upah atau mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung yang telah difatwakan sesat.
“Mana-mana orang yang mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikut ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan hendaklah bertaubat dengan taubat nasuha,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Nooh memaklumkan mesyuarat MKI Kali Ke-125 yang bersidang pada 24 hingga 26 September lalu telah membincangkan mengenai kajian isu-isu akidah, syariah dan akhlak serta tasawuf dalam GISB.
Menurutnya, justeru mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dan dilarang berpegang, mempercayai, mengajar, menyebarkan, mengamalkan atau menjadi pengikutnya atau ejen.
Selain itu, tiada seorang pun boleh memiliki, menyimpan, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, majalah, risalah atau apa-apa bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa bentuk keluaran atau ulangannya.
Katanya, ia termasuklah apa-apa filem, audio visual, rakaman, laman sesawang, media cetak atau media elektronik yang mengandungi ciri-ciri ajaran, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan,” katanya.
Katanya, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia juga mencadangkan agensi kerajaan berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (bertaubat) dan memberikan peruntukan atau pembiayaan yang bersesuaian bagi tujuan tersebut.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyembah maklum pandangan hukum tersebut kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan seterusnya ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-267 pada 23-24 Oktober.
“Dalam hal ini, majlis mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri-negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing,” katanya.
Sementara itu MKI turut memutuskan tauliah atau lantikan membenarkan amil atau ejen mengutip zakat di luar dari sempadan negeri adalah tidak sah.
Nooh berkata, hukum lantikan atau tauliah diberikan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) kepada individu atau organisasi sebagai amil atau ejen zakat hanya sah di sisi hukum syarak selain hanya terpakai di dalam ruang lingkup sempadan negeri atau bidang kuasa wilayah ulil amri yang melantik atau memberi tauliah tersebut sahaja.
Menurut beliau, hukum perbuatan memindahkan hasil kutipan zakat oleh individu atau organisasi yang dilantik atau diberikan tauliah sebagai amil atau ejen zakat bagi mana-mana MAIN ke negeri lain adalah tidak sah dan bercanggah dengan peruntukan undang-undang berkaitan zakat negeri-negeri. – UTUSAN










