MUAR: Ibu kepada kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 148.1, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan petang semalam masih tidak mengetahui anaknya telah pergi buat selama-lamanya.
Menurut Azuraida Mohd. Yusoff, 34, adiknya, Azratul Nabila, 30, masih belum mengetahui mengenai keadaan anak sulung lelakinya yang telah meninggal dunia dalam kemalangan itu.
“Adik saya juga merupakan mangsa yang berada di dalam kereta Proton Iswara tersebut dalam keadaan cedera dan masih lagi separa sedar. Dia, suami dan dua anaknya bersama abang ipar serta kakak iparnya beserta dua anaknya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bandar Tenggara, Kulai selepas melawat saudara yang sakit.
“Dalam perjalanan itu, tiba-tiba treler berkenaan memasuki lorong kanan dari lorong kiri, manakala kereta mereka berada di lorong kanan sewaktu itu. Suaminya, Mohd. Sazren Sahar, 38, telah mengetahui anaknya meninggal dunia dan diberitahu oleh doktor ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar sejak semalam,” katanya ketika dihubungi semalam.
Anak saudaranya, Mohd. Shafiy Mohd. Sazren, satu tahun 11 bulan yang meninggal dunia dalam kemalangan itu baharu mendapat adik lelaki yang kini berusia lima bulan.
“Alhamdulillah, adiknya selamat dan kini dijaga oleh keluarga adik ipar saya. Saya dan suami dalam perjalanan ke Muar untuk melawat mereka dan bayi adik itu akan saya jaga buat sementara waktu sehingga adik serta adik ipar saya benar-benar pulih.
“Kami reda dengan ketentuan ini, namun mengharapkan hukuman yang setimpal sekiranya pemandu treler itu benar-benar bersalah mengakibatkan kemalangan itu,” ujarnya.
Jenazah Mohd. Shafiy dijadual dikebumikan di kampung ibunya di Kluang selepas urusan bedah siasat selesai di HPSF, Muar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman berkata, pemandu treler dipercayai terlelap ketika memandu sehingga mengakibatkan seorang kanak-kanak tiga tahun maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta Proton Iswara di Kilometer 148.1, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan petang semalam. – UTUSAN










