38,000 hektar hutan simpan digondolkan secara haram

38,000 hektar hutan simpan digondolkan secara haram

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seluas 38,376.78 hektar kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) bersamaan kelua­san 54,823 padang bola digondolkan secara haram di seluruh Semenanjung setakat 31 Disember tahun lalu.

Sebanyak 1,074 lokasi dikesan diteroka dengan pelbagai aktiviti seperti pertanian terma­suk penanaman pokok kelapa sawit, pisang, getah, durian, koko dan sayuran.

Selain itu, penerokaan secara haram itu turut melibatkan aktiviti perlombongan, penempatan, pembinaan bangunan, jeti, akuakultur, tanah perkuburan, kawasan rekreasi, gerai makan dan bangunan keagamaan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Jabatan Perhutanan Negeri-negeri telah mengambil langkah proaktif dalam membanteras aktiviti penerokaan haram HSK.

Katanya, antara langkah diambil adalah memperkasakan operasi Pusat Pemantauan Sumber Hutan sebagai sebuah hub berpusat di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

“Pemantauan dilaksanakan melalui sistem Forest Monitoring using Remote Sensing (FMRS) bagi mengesan sebarang perubahan litupan kawasan berhutan yang berlaku dalam HSK.

“Jabatan Perhutanan juga melaksanakan inisiatif Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) yang dibangunkan oleh Jabatan Hutan Sarawak di mana sistem ini berupaya untuk menggabungkan analisis imej satelit setiap minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim (PN-Arau) yang bertanyakan keluasan kawasan HSK yang diceroboh dan apa langkah penguatkuasaan diambil kementerian untuk menanganinya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, Jabatan Perhutanan turut menggunakan menggunakan imej satelit sebagai langkah pemantauan jarak jauh melalui sistem aplikasi iForSabah yang dibangunkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah dan Agensi Angkasa Malaysia.

“Akta Perhutanan Negara (Pin­daan) 2022 telah diwarta pada 20 September 2022 bagi memperkukuhkan kuasa pegawai penguatkuasaan dalam membanteras jenayah hutan dan meningkatkan kadar jumlah hukuman,” katanya.

Nik Nazmi berkata, bagi aktiviti penanaman semula, kerajaan meluluskan peruntukan RM100 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pelaksanaan Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemuliharaan Kawasan Hutan Terosot di Semenanjung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN