Jurang pengalaman pemisah Malaysia

Jurang pengalaman pemisah Malaysia

Nor Saiful Zaini Nasiruddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin tetap berpuas hati dengan prestasi pemainnya pada kempen Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China, meskipun gagal menamatkan saingan menaiki podium.

Pun begitu, Malaysia sudah mengesahkan tiket ke Piala Dunia Hoki Remaja 2027 selepas mara ke separuh akhir kejohanan tersebut, sekali gus memenuhi sasaran utama pasukan.

Bagaimanapun, Nor Saiful berkata, pasukannya mempunyai dua peluang untuk merealisasikan sasaran podium, namun gagal memanfaatkan kedua-dua kesempatan berkenaan.

“Kita layak ke Piala Dunia Remaja dan kita memang mahu mencari podium sebagai penamat. Kita ada dua peluang, pertama ketika menentang India di separuh akhir tetapi kita kalah 3-1 dan kemudian kita kalah 4-2 kepada Pakistan.

“Objektif pasukan tercapai, cuma ia hanya tercapai dari segi kelayakan ke Piala Dunia secara merit tetapi kita tidak berjaya mencapai podium,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas keseluruhan persembahan skuad negara, Nor Saiful berkata, pemainnya sudah mempamerkan kekuatan sebenar dan memberikan segala-galanya sepanjang kejohanan.

“Tetapi masih ada beberapa perkara yang kurang. Jurang antara pemain kita terlalu tinggi. Kalau lihat India, jurang antara pemain mereka lebih seimbang dan itu yang membuatkan mereka begitu dominan, begitu juga dengan Pakistan,” katanya.

Nor Saiful turut mengakui faktor pengalaman menjadi antara kelemahan skuad negara apabila majoriti pemain yang dibawa ke kejohanan itu masih muda.

“Walaupun kejohanan ini bawah 20 tahun, kita hanya ada empat pemain berusia 20 tahun, manakala selebihnya berusia 18 tahun dan ke bawah. Jadi, dari segi pengalaman, kita memang kurang.

“Menentang Pakistan, kita boleh bermain malah mendahului perlawanan. Tetapi pengalaman serta kekuatan pemain kita tidak cukup untuk mengekalkan rentak permainan,” katanya.

Bagaimanapun, Nor Saiful melihat pengalaman yang diraih di China sebagai sesuatu yang amat berharga buat barisan pemain muda negara menjelang cabaran lebih besar di Piala Dunia Remaja tahun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×