Usah diskriminasi hak pendidikan kerana taraf ekonomi ibu bapa

Usah diskriminasi hak pendidikan kerana taraf ekonomi ibu bapa

PENDIDIKAN adalah hak setiap warganegara tanpa mengira status ekonomi ibu bapa pelajar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hak pendidikan tidak boleh didiskriminasi atau dibezakan antara warganegara hanya atas alasan anak orang kaya atau miskin kerana perkara itu dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Perkara 8(2) yang perlu dibaca bersama Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan menghalang diskriminasi antara setiap rakyat dari segi agama, ras, keturunan, jantina dan tempat lahir melainkan ada penge­cualiaan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.

Kata beliau, Perkara 12 Perlembagaan menyatakan hak warganegara berkenaan pendidikan tanpa menjejaskan keluasan Perkara 8, iaitu tidak boleh ada diskriminasi terhadap mana-mana warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir.

HAK

Katanya, isu asasnya ialah hak seorang warganegara untuk mendapatkan pendidikan, bukan hak yang menyentuh status seorang ayah kepada seorang warganegara.

Perkara itu adalah melibatkan pentadbiran mana-mana institusi pendidikan yang dise­lenggarakan oleh pihak berkuasa awam khususnya kemasukan murid-murid atau pelajar-pelajar atau pembayaran fi.

“(Ia atau) dalam memberikan bantuan kewangan daripada mana-mana pihak berkuasa awam bagi penyenggaraan atau pendidikan murid-murid atau pelajar-pelajar di mana-mana institusi pendidikan (sama ada diselenggarakan oleh suatu pihak berkuasa awam atau tidak dan sama ada di dalam atau di luar Persekutuan).

“Orang kaya boleh pilih untuk masuk sekolah kerajaan. Orang kaya adalah pembayar cukai dan kadar cukai pun berbeza. Tetapi seorang warganegara yang mempunyai ibu bapa yang kaya belum tentu mempunyai akses terhadap kekayaan ibubapanya.

YURAN

“Kerajaan boleh mewujudkan bantuan untuk anak orang miskin tetapi untuk mewujudkan dua kadar yuran boleh dilihat sebagai satu diskriminasi,” katanya di sini semalam.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa kerajaan akan menilai semula peruntukan subsidi dalam sektor pendidikan yang turut dinikmati golongan kaya.

Perdana Menteri menegaskan, perkara itu antara yang diberi keutamaan dalam pembentangan Belanjawan 2025 agar pemberian subsidi itu hanya diberikan kepada golongan miskin dan benar-benar layak.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi yang juga pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, yuran di sekolah kerajaan mesti hanya satu kadar dan amalan sekarang juga sudah ada bantuan subsidi.

Beliau berkata, timbul persoalan adakah kerajaan ingin me­ngubah polisi yang dahulunya mengamalkan pendidikan percuma kepada rakyat kepada satu sistem baharu yang menghala ke arah pengkomersilan.

“Apakah ukuran seseorang pelajar itu dinilai melalui keturunan, atau dari sudut lain semata-mata pada ketika itu ibu bapanya mempunyai posisi kewangan yang kukuh?

“Apa akan jadi jika status kewangan ibu bapa mereka bertukar secara tiba-tiba menjadi tidak stabil, maka ia akan menyu­litkan aspek pentadbiran yang akan menimbulkan birokrasi, selain isu perunda­ngan”, katanya.

Justeru, katanya, adalah le­bih baik kerajaan menambah baik kaedah kutipan cukai dan me­merangi rasuah serta ketirisan selain menggalakkan waqaf atau pendekatan yang MAMPU me­ngukuhkan kewangan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN