UiTM laksana subjek anti rasuah

UiTM laksana subjek anti rasuah

UiTM anti rasuah
MOHD. Sazili Shahibi (tiga, kanan) dan pensyarah menyerahkan anugerah penghargaan kepada pasukan Kor Suksis di UiTM Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengumumkan pelaksanaan Kursus Integriti Anti Rasuah (KIAR) melibatkan lebih 4,000 penuntut semester tiga universiti itu tahun ini.

Pelaksanaan program sehingga Februari tahun depan itu bersempena Hari Bertemu Pelanggan Pusat Kokurikulum UiTM Shah Alam.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, KIAR hasil kerjasama strategik antara Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menurutnya, kursus itu ditawarkan sebagai subjek elektif di peringkat sijil, diploma dan sarjana muda pada 2022 sebelum diperkukuh menjadi salah satu Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) mulai tahun lalu.

“KIAR merupakan komponen penting dalam membina organisasi dan generasi muda yang beretika, berdaya saing serta berintegriti.

“KIAR menjadi kursus wajib dalam MPU bermula dengan kemasukan pelajar semester satu sesi 2023/2024 yang akan mengikuti kursus itu pada semester tiga nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, Datuk Dr. Mohd. Nor Hajar Hasrol Jono berkata, KIAR akan dipimpin oleh Pusat Kokurikulum dan Unit Kokurikulum di setiap kampus UiTM dengan sokongan penuh daripada Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEP).

“Kursus itu akan dijalankan selama 14 minggu dengan dua jam kelas kokurikulum setiap minggu dalam menerapkan nilai integriti dan anti rasuah dalam kehidupan harian mereka.

“Ia meliputi modul Kesatria Kembara dan Kesatria Brass Band bertujuan membentuk pelajar UiTM yang berjati diri kukuh dan berketerampilan tinggi,” ujarnya.

Katanya lagi, program itu melibatkan penyertaan pelbagai persatuan dan kelab termasuk Kesatria Negara, Kesatria Kembara, Kesatria Brass Band, PALAPES Darat, Laut dan Udara, Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA), Kor Sukarelawan Polis (Suksis), Siswa Bomba Bantuan, serta Badan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).

“UiTM melalui Jabatan HEP dan Pusat Kokurikulum sentiasa proaktif dalam menawarkan program-program kokurikulum dan kemahiran insaniah.

“Program ini bukan sahaja merangkumi aspek akademik, kerohanian, kebudayaan, dan pembangunan diri, malah program bercirikan ketahanan mental dan fizikal dengan latar belakang kemahiran ketenteraan bertujuan melahirkan mahasiswa berintegriti serta berdisiplin tinggi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×