PETALING JAYA: Dengan inovasi dan teknologi terkini, sebuah syarikat tempatan kini berjaya menghasilkan tilam daripada pokok getah.
Ketua Bahagian Perkongsian Strategik Getha Bedding (M) Sdn.Bhd., Lim Seng Yu berkata, pihaknya berjaya menghasilkan setiap sebuah tilam yang memerlukan getah daripada 1,000 pokok menerusi pelbagai proses.
Katanya, kajian dan inovasi tersebut mengambil masa beberapa bulan sebelum berjaya menghasilkan inovasi berkenaan.
“Kita memerlukan getah daripada 1,000 pokok getah tempatan untuk menghasilkan sebuah tilam bersaiz king.
“Ia secara tidak langsung dapat membantu menyumbang kepada pengurusan lestari ladang pokok getah bagi memastikan kelangsungan dan pertumbuhan industri penting itu,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dalam ada itu, Seng Yu berkata, pihaknya cuba menggunakan teknologi terbaik dalam usaha menyokong sektor getah di negara ini dan menyumbang kepada pembangunan luar bandar.
“Setakat tahun ini, Malaysia merupakan antara pengeluar utama getah asli di peringkat global dengan menyumbang kira-kira 400,000 hingga 450,000 metrik tan setiap tahun.
“Kelestarian adalah asas legasi syarikat sejak beroperasi 1969 dan kami akan terus bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta membantu sektor perladangan komoditi yang terlibat,” jelasnya. – UTUSAN










