KOTA BHARU: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan berkata, beliau tidak tahu tujuan sebenar seorang individu menyamar sebagai dirinya sehingga sanggup mewujudkan kumpulan WhatsApp.
Ayob yakin, masyarakat tidak akan mudah terpengaruh dengan tindakan individu tersebut.
“Saya tidak akan buat benda macam itu, apa gunanya saya buat ‘WhatsApp group’, saya pun banyak kerja lain.
“Saya hanya ada satu nombor sahaja, isteripun satu tiada dua. Jadi saya, tidak pasti apa tujuan individu tersebut berbuat demikian,” katanya mengulas tindakan individu yang menyamar sebagai dirinya, baru-baru ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Kelantan antara Pemangku, Deputi Komisioner Mohd. Ali Tamby dengan Ketua Polis baharu, Datuk Mohd. Yusoff Mamat.
Ayob memberitahu, kertas siasatan berkait dengan kes tersebut sudah dibuka dan polis dijangka dapat mengesan individu terbabit tidak lama lagi.
Katanya, susulan penyamaran itu beliau telah dihubungi oleh orang ramai untuk mengesahkan perkara tersebut.
Media sebelum ini, melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat pemilik nombor yang menyamar sebagai ‘Dato Ayob Khan Mydin’ di aplikasi WhatsApp serta mengajak individu lain untuk turut menyertai kumpulannya di platform aplikasi tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, PDRM menegaskan bahawa Ayob tidak pernah mengendalikan sebarang kumpulan khas WhatsApp.
Katanya, perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta berpotensi memburukkan imej PDRM. – UTUSAN










