Saringan 572 kanak-kanak penghuni rumah amal GISBH selesai

Saringan 572 kanak-kanak penghuni rumah amal GISBH selesai – KPN

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proses sari­ngan membabitkan seramai 572 penghuni terdiri kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal di bawah kendalian GISB Holdings (GISBH) telah selesai dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ber­kata, semua kanak-kanak yang diselamatkan PDRM menerusi Op Global dalam empat fasa itu kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut.

Beliau berkata, siasatan PDRM ketika ini tertumpu kepada tindakan perundangan yang perlu diambil kepada semua individu yang ditahan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd. Ali.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Fokus kita adalah kepada perundangan yang telah saya nyatakan sebelum ini dan kanak-kanak berkenaan telah selesai saringan kesihatan dan diserahkan kepada JKM,” kata­nya ringkas.

Terdahulu, seramai 24 orang termasuk Nasiruddin direman lima hari lagi bagi membantu siasatan susulan laporan polis berkaitan pekerjanya dijadikan ‘buruh paksa’ kumpulan itu.

CEO terbabit bersama isteri dan tiga anaknya antara 24 orang direman hingga 4 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti­penyeludupan Migran (Atipsom) (Pindaan) 2022.

Pada 30 September lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meletak sepenuh kepercayaan terhadap kompetensi pasukan PDRM dalam menguruskan siasatan yang dijalankan ke atas GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Menurut beliau, sekiranya jelas berlaku eksploitasi ter­hadap wanita dan kanak-kanak, kesalahan seksual kanak-kanak mahu pun pemerdagangan manusia, tindakan harus diambil dan diteruskan.

Selain PDRM, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut memainkan peranan penting dalam mengenal pasti dokumen pe­ngenalan diri milik kanak-kanak GISBH yang diselamatkan.

Menerusi sidang akhbar sama, Saifuddin memaklumkan, sebanyak 80 kertas siasatan telah dibuka setakat ini ke atas GISBH membabitkan empat akta iaitu Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan

Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, ATIPSOM 2007 dan di bawah Kanun Keseksaan.

Jelasnya, tangkapan yang dibuat adalah seramai 359 orang dengan 592 kanak-kanak GISBH berjaya diselamatkan dan jumlah tersebut masih kekal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini