RUU tahanan di rumah tiada kaitan dengan Najib

RUU tahanan di rumah tiada kaitan dengan Najib, bukan perkara baharu

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) tahanan di rumah tiada kaitan dengan mana-mana individu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara ketika ini.

Jurucakap Kerajaan Perpa­duan, Fahmi Fadzil berkata, kajian mengenai penggubalan akta tersebut telah dilakukan tahun lalu dan bukan perkara baharu.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, konteks menyeluruh mengenai kajian akta itu sudah dijelaskan dalam mesyuarat Dasar Sosial Negara baru-baru ini.

“Tindakan kepada mewujudkan satu akta baharu berkaitan tahanan di rumah itu sudah bermula seawal tahun lalu dalam konteks yang disebut sebagai peralihan.

“Konsep akta itu bermaksud peralihan daripada punitif kepada pemulihan keadilan yang mana seseorang individu yang telah didapati bersalah kembali ke dalam komuniti,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet semalam.

Katanya, satu projek perintis telah dilaksanakan membabitkan sekurang-kurangnya 5,000 banduan yang disebut sebagai rehabilitasi dalam komuniti.

Fahmi berkata, hasil projek rintis itu mendapati, kadar kembali melakukan kesalahan turun kepada 15 peratus.

Menurutnya, projek rintis berkenaan membabitkan kes jenayah yang tidak terlalu berat dan tidak membabitkan kes jenayah bunuh.

“Maka, satu akta khusus perlu digubal mengambil kira undang-undang sedia ada dan takrifan mengenai beberapa aspek dari segi penahanan.

“Ia tidak ada kaitan dengan mana-mana individu tapi kita lihat ekosistem itu secara keseluruhan dan kita perlu beranjak sesuai dengan zaman,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dilaporkan berkata, rang undang-undang berkaitan hukuman tahanan di rumah akan dibentang pada tahun depan dan Kabinet telah memberikan kelulusan dasar untuk pelaksanaannya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2025 berkata, kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah dijadikan sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.

Mengikut peruntukan akta itu, pesalah dikehendaki berada di tempat yang dianggap bersesuaian seperti rumah kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan.

Dalam isu lain, Fahmi berkata, Perdana Menteri sedia maklum mengenai kebimbangan pemain industri mengenai cadangan kenaikan gaji minimum serta peningkatan sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti diumum pada Belanjawan 2025 lalu.

Katanya, isu berkenaan dibangkitkan pada me­syuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri semalam.

“Beberapa keputusan atau pengumuman yang dibuat sewaktu pembentangan Belanjawan (2025) pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri sudah dimaklumkan mengenai panda­ngan ini.

“Sudah pasti beliau akan mengambil kira (semua pandangan serta kebimbangan) dan kita tunggu sebarang keputusan sewaktu penggulungan nanti, insya-Allah oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Baru-baru ini, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) menyuarakan kebimbangan berhubung cadangan itu yang mungkin memberikan tekanan kewangan tidak mampu ditanggung perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutama pada saat perniagaan kecil masih dalam proses pemulihan selepas pandemik.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan meluluskan secara dasar berhubung pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan buli siber dalam laman media sosial.

Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan isu ke­selamatan dalam talian itu di­jangka dibawa ke Parlimen pada sidang kali ini.

Selain itu, katanya, RUU Ke­selamatan Dalam Talian juga akan dibawa ke Parlimen dalam usaha memastikan penggunaan internet selamat khususnya bagi kanak-kanak dan keluarga.

“Saya tegaskan secara ke­seluruhan ini ialah langkah yang perlu kita ambil untuk tutup kelompongan dengan mengambil tindakan yang tegas terhadap mereka yang menjadi pembuli siber.

“Ketika ini, dapatan kajian daripada pihak kerajaan me­nunjukkan tidak ada takrif tepat bagi jenayah buli termasuk buli siber. Jadi, ini akan dibawa ke Parlimen,” katanya.

Susulan itu, Fahmi berkata, pihaknya menjangkakan RUU berkenaan bakal dibentang pada sesi Parlimen untuk bacaan kali kedua pada Disember ini.

Minggu lalu, Anwar berkata, RUU Keselamatan Dalam Talian akan digubal bagi mengekang buli siber yang kian merunsingkan di negara ini. Katanya, ia bagi memastikan penyedia perkhidmatan turut bertanggungjawab dalam meningkatkan tahap keselamatan khususnya membabitkan kanak-kanak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN