Polis rekod 242 kes penipuan jual beg tangan dengan kerugian RM3 juta

Polis rekod 242 kes penipuan jual beg tangan dengan kerugian RM3 juta

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis merekodkan sebanyak 242 kes tipu pembelian beg tangan secara dalam talian di seluruh negara sejak 2023 sehingga September lalu dengan kerugian RM3 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 137 kes dengan kerugian kira-kira RM2.1 juta direkodkan pada tahun lalu manakala dari awal tahun ini sehingga September lalu, sebanyak 105 kes dilaporkan membabitkan kerugian berjumlah RM918,063.03. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pembelian menerusi platform dalam talian berisiko mendatangkan penipuan.

Kata beliau, apa sahaja yang dijual dilihat menarik sekali gus mereka yang tertarik membuat tempahan dan menjadi mangsa penipuan.

“Lebih membimbangkan tiada apa-apa jaminan bahawa barangan diterima itu sama seperti ditempah atau dalam sesetengah kes langsung tidak ada diterima,” katanya di sini.

Ramli menasihatkan mana-mana individu atau pembeli barangan secara dalam talian untuk menggunakan platform yang sah dan mempunyai jaminan. 

Katanya, kadangkala barang yang ditawarkan dengan harga murah itu didakwa sebagai tulen, namun tidak diketahui sumber dan sebagainya.

“Dinasihatkan masyarakat  tidak mudah terjebak dengan taktik sebegini, jika diharap pembelian untuk dapat harga murah, akhirnya yang dapat hanya penipuan sahaja.

“Kes-kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Pada 11 Oktober lalu, seorang wanita kerugian lebih RM5,000 bagi pembelian beg tangan mewah selepas membuat pembelian di satu akaun Instagram.

Pemilik akaun itu menawarkan perkhidmatan pembeli persendirian bagi membeli beg mewah tersebut di luar negara.

Mangsa terpedaya dengan tawaran separuh harga yang diberikan oleh pembeli persendirian tersebut.

Suspek menggunakan taktik dengan memaparkan testimoni daripada pelanggan lain yang berpuas hati dengan khidmat diberikan termasuk menyatakan penghantaran cepat serta barang selamat sampai.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN