PETALING JAYA: Permohonan pertukaran tempat bagi guru hanya terdapat di beberapa kawasan bandar besar melibatkan kos perumahan yang tinggi seperti Johor Baharu, Kuala Lumpur dan Shah Alam.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, kawasan yang sudah terlalu padat seperti Kelantan, Terengganu, Kedah agak sukar untuk dibuat penempatan semula.
“Isunya adalah pilihan mengikut mata pelajaran yang mempunyai lebihan guru terutama bagi negeri tertentu. Cadangan saya ialah mungkin tempat guru yang bersara itu boleh diberikan kepada guru senior yang memohon pertukaran.
“Namun, kita mengharapkan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa mencari formula terbaik bagi mengatasi masalah pertukaran guru ini. Semua kepemimpinan KPM sama ada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), dan Bahagian-bahagian di KPM diharap dapat membuat pertimbangan wajar dan meredakan tekanan guru-guru yang terlibat.
“Guru-guru yang merayu sudah tentu sangat tertekan. Justeru, kebijaksanaan pegawai bertanggungjawab dalam meraikan guru ini akan memberikan sedikit keredaan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sebanyak 45,336 atau 35 peratus permohonan pertukaran guru diluluskan bagi tempoh lapan tahun iaitu antara 2017 hingga Jun lalu, dengan keutamaan diberikan kepada kategori pasangan guru jarak jauh.
Mengulas lanjut, Fouzi berkata, isu pertukaran yang diambil kira ialah tempoh perkhidmatan di stesen terakhir mesti melebihi tempoh tiga tahun walaupun terdapat kekosongan tempat mengikut opsyen kawasan dipohon.
“Walau bagaimanapun, pihak KPM telah pun membuat penambahbaikan berkaitan syarat opsyen kepada kluster mengikut mata pelajaran yang boleh diajar mengikut bidang seperti cikgu Fizik yang boleh mengajar Matematik.
“Selain itu, KPM juga telah melaksanakan empat kali pertukaran dalam setahun dengan hanya mengisi sekali sahaja borang permohonan secara atas talian pada awal tahun,” katanya. – UTUSAN










