Persalinan pahlawan Walinong Sari taruhan di Miss Universe 2024

Persalinan pahlawan Walinong Sari taruhan di Miss Universe 2024

Sandra Lim memperagakan busana yang akan dipakai untuk Miss Universe 2024 pada Majlis Pengumuman Baju Kebangsaan Miss Universe 2024, di Empire City, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Miss Universe Malaysia 2024, Sandra Lim akan memperagakan kostum rekaan pereka fesyen ternama, Ezuwan Ismail, bertemakan puteri lagenda Walinong Sari pada pertandingan dunia berlangsung di Mexico bulan depan.

Kata Ezuwan yang pertama kali terlibat dalam rekaan busana untuk ratu cantik, inspirasi rekaan itu adalah hasil perbincangannya bersama Sandra dalam masa kurang daripada sebulan.

“Saya lihat Sandra ada karakter yang kuat sebagai seorang wanita. Dia juga meminta saya untuk hasilkan rekaan yang sesuai untuk dia bermain pedang kerana dia ada kemahiran itu.

“Jadi, saya rasa karakter pahlawan lagenda daripada Pahang iaitu Walinong Sari sesuai dengan karakternya dan dalam masa sama sesuai dipadankan dengan prop pedang,” katanya pada majlis pratonton kostum nasional dan gaun malam Miss Universe Malaysia 2024 di Auditorium MYEG, Petaling Jaya, hari ini.

Sandra tampil gagah bersama pedang semasa majlis pratonton menampakkan sisi berani pahlawan wanita.

Ezuwan yang juga terkenal dengan jolokan Tukang Jahit Termahir Malaysia berkata, persalinan seberat tujuh kilogram itu menggunakan fabrik songket yang dipadankan dengan rekaan seluar. Ia turut menampilkan perincian sulaman kerawang tebuk pada bahagian hadapan dan belakang baju serta di bahagian but.

Ujar Ezuwan, kesemua persalinan yang akan dipertandingkan di Miss Universe 2024 bulan depan dihasilkan secara buatan tangan serta perincian permata Swarovski.

Selain busana kebangsaan, Ezuwan turut menghasilkan gaun malam dan busana rahsia yang hanya akan didedahkan pada hari pertandingan.

Sandra dalam reaksinya mengakui teruja untuk menyarung busana kebangsaan itu.

“Saya melihat dari awal bagaimana busana ini dihasilkan dan sangat berpuas hati dengan hasilnya.

“Menyarung kostum ini membuatkan saya rasa bersemangat seperti pahlawan dan pelindung.

“Paling penting kostum ini membolehkan saya bermain pedang. Akan ada sedikit persembahan nanti. Nantikan,” katanya yang akan berangkat ke Mexico 28 Oktober ini.

Penganjuran ke 73 Miss Universe 2024 akan berlangsung di Mexico, 16 November depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN