PETALING JAYA: Pengurusan aduan buli melibatkan petugas kesihatan masih samar meskipun Kementerian Kesihatan telah mempunyai kemudahan sistem dalam talian, MyHELP bagi menangani masalah itu.
Sistem yang dilancarkan pada 1 Oktober 2022 itu membolehkan petugas menyalurkan aduan mengenai buli terus kepada Unit Integriti, Ibu Pejabat kementerian tanpa perlu melalui penyelia atau ketua jabatan.
Namun Jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK), Dr. Muhammad Yassin berkata, sistem tersebut hanya terdapat ruangan aduan dan semakan laporan tanpa memperincikan lebih lanjut bagaimana pengendalian pengurusan buli termasuk kaedah aduan disiasat.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan seharusnya segera mengumumkan secara terbuka garis panduan pengurusan buli itu bagi meningkatkan keyakinan orang ramai agar hasil siasatan dilakukan secara telus.
Malah katanya, langkah itu bagi menamatkan kes-kes buli yang berlaku di hospital dan klinik kerajaan.
“Pengurusan aduan buli Kementerian Kesihatan agak samar-samar pelaksanaan mahupun keberkesanannya kerana pihak kementerian tidak mengeluarkan data yang diperlukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja bagi menangani isu tersebut di fasiliti perubatan kesihatan awam.
Katanya, garis panduan itu dikeluarkan menerusi Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH).
Dzulkefly berkata, pihak kementerian sentiasa mengambil sikap tegas dan telus dengan melaporkan hasil siasatan selepas selesai dijalankan berdasarkan aduan kes-kes buli sebelum ini.
Sebelum ini, beberapa doktor di hospital kerajaan di Sabah mengalami gejala buli secara lisan dan fizikal apabila dihambur perkataan kesat, lucah serta penghinaan kaum, selain pernah diancam senjata tajam jika tidak mematuhi arahan ketua unit.
Malah, mereka sering dimalukan di hadapan pesakit apabila kemahiran profesional petugas kesihatan terbabit diperlekeh secara terbuka oleh doktor pakar.
Pembuli pula bagaikan mempunyai kekebalan apabila tiada tindakan tegas diambil ke atas mereka, selepas aduan kepada pihak atasan, bahkan ketua jabatan memberi amaran akan menukarkan doktor yang mengadu dibuli ke unit lain.
Justeru itu Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung laporan beberapa doktor di hospital kerajaan di Sabah mengalami gejala buli secara lisan dan fizikal.
Presiden MMA, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata kelewatan siasatan akan mengganggu perkhidmatan di fasiliti kesihatan yang berkenaan di negeri itu.
Beliau menegaskan, tindakan yang diambil kerajaan dalam kes itu akan menghantar mesej yang jelas dan tegas kepada pembuli bahawa apa juga bentuk buli dalam penjagaan kesihatan tidak akan dikompromi. – UTUSAN










